Inovasi kuih bangkit dengan kepelbagaian rasa
KUALA LANGAT - Kuih bangkit merupakan makanan tradisional bagi masyarakat Melayu di negara ini dan menjadi antara sajian popular yang dihidangkan sewaktu sambutan hari raya.
Disebabkan permintaan kuih ini bermusim, beberapa inovasi telah dilakukan oleh usahawan tempatan bagi memastikan produk itu kekal relevan dan tahan lebih lama di pasaran.
Dalam menawarkan kepelbagaian kepada penggemar sajian itu, Erni Farlina Zaili, 40, menghasilkan kuih bangkit dengan variasi tujuh perisa iaitu Nestum, cornflakes, oreo, kelapa pandan, kelapa, coklat milo dan kopi.
Ternyata, usaha pemilik syarikat Erni Asia Empire itu membuahkan hasil apabila inovasi berkenaan berjaya mendapat sambutan memberangsangkan daripada pelanggan setia.
“Sewaktu permulaan perniagaan kami pada 2010, saya hanya cuba membuat kuih bangkit ini dengan dua perisa iaitu nestum dan cornflakes.
“Namun, lama kelamaan percubaan kami ini semakin dapat diterima baik malah permintaannya juga tidak lagi hanya bermusim,” katanya kepada Bisnes Sinar.
Mengulas lanjut, Erni berkata, selain kuih bangkit, Erni Asia Empire turut menghasilkan kuih bahulu gulung mini dan bahulu belimbing yang dihasilkan di premis kilangnya terletak bersebelahan rumahnya di Kanchong Darat.
Ujar Erni, pihaknya turut melakukan proses proses kajian dan pembangunan (R&D) bagi memastikan produk yang dikeluarkan mencapai kepuasan yang dikehendaki pelanggan.
“Ramai orang menggemari kuih bangkit dan bahulu maka disebabkan itulah, kita ambil langkah untuk mempelbagaikan variasi rasa kuih berkenaan di pasaran,” katanya.
Buat masa ini, Erni bersama tiga orang pekerjanya mampu menyiapkan sekitar 400 balang tempahan kuih bangkit pada setiap hari.
Pada masa akan datang, mereka menyasarkan untuk meningkatkan lagi hasil pengeluaran sekitar 800 balang sehari susulan sambutan semakin baik daripada pelanggan mereka.
“Sasaran itu mungkin akan dapat dicapai selepas kami selesai membuat pembelian mesin cetakan kuih bangkit yang berharga sekitar RM120,000 dalam tahun ini,” katanya.
Promosi di media sosial
Ibu kepada seorang cahaya mata itu memaklumkan pihaknya turut menggunakan peluang bagi memasarkan produk mereka menerusi beberapa syarikat pembekal kepada usahawan kerepek dan kuih tradisional di kawasan itu.
“Saya akan menghantar produk-produk ini kepada syarikat itu dan merekalah yang akan membantu memasarkannya serta menghantar tempahan kepada pelanggan.
“Selain itu, saya turut menggunakan medium media sosial dan menerima tempahan secara terus menerusi telefon,” katanya.
Di samping itu, kata Erni, sejak memulakan perusahaannya itu, dia turut mendapat bimbingan daripada beberapa agensi antaranya seperti Jawatankuasa Tetap Pembangunan Usahawan Negeri Selangor (Daerah Kuala Langat), Jabatan Pertanian Kuala Langat dan Mara Kuala Langat.
Katanya, sokongan dan bimbingan daripada agensi-agensi terlibat telah banyak membantu memudahkan pihaknya untuk meluaskan lagi pasaran produk perusahaannya itu.
“Saya sangat bersyukur sebab sejak awal permulaan perniagaan ini, banyak pihak membantu dan membimbing kami untuk lebih maju ke hadapan,” katanya.
Dalam pada itu, Erni mengakui mereka juga turut berdepan dengan cabaran penularan wabak Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Kata Erni, perusahaannya itu terpaksa berdepan pengurangan pendapatan sehingga 30 peratus ekoran daripada serangan pandemik itu.
“Pelanggan saya dari luar juga susah untuk datang dan disebabkan itulah perniagaan kami turut terkesan.
“Alhamdulillah, kami syukur kerana masih mampu bertahan dan mengharungi cabaran besar ini dengan sebaiknya,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!