Lima beradik di Port Dickson kini yatim piatu akibat Covid-19
PORT DICKSON - Pesanan ibu supaya menjaga adik-adik dengan baik sebelum dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) akibat positif Covid-19 masih terngiang-ngiang dalam ingatan, Muhammad Haidir Rodzi, 23.
Muhammad Haidir tidak menyangka pesanan menerusi panggilan video itu merupakan amanat terakhir ibu kepadanya sebagai anak sulung untuk mengambil alih tanggungjawab menjaga adik-beradik setelah ibu bapanya meninggal dunia akibat Covid-19.
Satu ujian berat buat lima beradik itu apabila ayah mereka, Rodzi Tahar, 55, yang menghembuskan nafas terakhir di Hospital Tampin pada 31 Mei lepas, manakala ibunya Nazita Idris, 45, meninggal dunia enam hari kemudian di Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ).
"Kami berasa sedih namun reda dengan ketentuan ALLAH atas pemergian ibu bapa tersayang. Perkara paling menyedihkan apabila kami sekeluarga tidak dapat mencium jenazah arwah ibu dan bapa buat kali terakhir, namun doa dan ingatan sentiasa ada buat mereka,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Muhammad Haidir bersama-sama empat adiknya iaitu Muhammad Hairie Rodzi, 20, Nurhairieka Rodzi, 18, Muhammad Haiqiel Rodzi, 13 dan Muhammad Khierzamani Rodzi berusia tujuh tahun kini menetap di rumah peninggalan arwah bapa mereka di Bandar Sunggala, Port Dickson.
Berkongsi lebih lanjut, Muhammad Haidir berkata, bapanya mengalami demam biasa pada 26 Mei lepas dan mengambil keputusan untuk menjalani ujian saringan di Hospital Port Dickson pada 29 Mei sebelum disahkan positif keesokan harinya dan dihantar ke Hospital Tampin.
Namun, tanpa diduga, keluarga mereka menerima perkhabaran duka apabila doktor mengesahkan bapanya meninggal dunia pada jam 4.30 pagi keesokan harinya.
"Perkara paling menyedihkan apabila arwah bapa tidak sempat meninggalkan pesanan buat kami selepas dimasukkan ke hospital. Bapa saya mempunyai sejarah penyakit darah tinggi, kencing manis dan sakit buah pinggang, manakala ibu mempunyai penyakit darah tinggi. Jadi mereka golongan berisiko.
“Kami tidak tahu punca jangkitan dapat dari mana dan tidak tahu kontak rapat dari siapa?” katanya.
Muhammad Haidir berkata, arwah ibunya melakukan ujian calitan pada 30 Mei selepas mengalami simptom seperti demam dan batuk serta disahkan positif Covid-19 pada keesokan harinya.
Katanya, mereka adik-beradik juga didapati positif Covid-19 dan menjalani kuarantin di rumah, bagaimanapun tidak mengalami simptom yang teruk dan kini telah sembuh daripada jangkitan itu.
Menjadikan kisah keluarganya sebagai contoh, Muhammad Haidir mengingatkan orang ramai supaya sentiasa mematuhi arahan ditetapkan kerajaan dan tidak memandang remeh terhadap penularan wabak Covid-19 yang boleh meragut nyawa insan tersayang. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!