Geng curi kerbau tumpas

Kerbau curi yang ditambat.
Kerbau curi yang ditambat.
A
A
A

BATU GAJAH - Polis berjaya menumpaskan kegiatan mencuri kerbau selepas menangkap tujuh lelaki termasuk seorang penjawat awam dalam satu operasi di sebuah ladang kelapa sawit di Tronoh di sini pada Isnin.

Tangkapan ke atas semua suspek berusia lingkungan 18 sehingga 46 tahun itu dibuat selepas polis menerima laporan daripada seorang penyelia kilang mengenai kehilangan haiwan ternakannya.

Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Mohamad Roy Suhaimi Sarif berkata, penyelia berusia 60 tahun itu telah pergi ke ladang terbabit sekitar jam 8.30 pagi untuk mencari kerbaunya yang hilang sebelum ini.

Menurut beliau, ketika membuat rondaan, dia telah terdengar bunyi letupan dan ternampak tiga lelaki bertindak melarikan diri keluar dari ladang itu.

"Dengan bantuan beberapa orang, tiga lelaki itu dapat ditangkap, mereka kemudiannya dibawa masuk semula ke dalam ladang untuk menunjukkan tempat kerbau yang dicuri dan ditambat.

"Penyelia itu yang mengecam bahawa kerbau berkenaan adalah miliknya segera menghubungi polis," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.

Beliau berkata, polis yang menjalankan siasatan lanjut kemudiannya berjaya menahan empat lagi suspek yang terlibat termasuk seorang penjawat awam berusia 46 tahun dan pelajar kolej vokasional berusia 18 tahun.

Katanya, siasatan awal mendapati, kumpulan terbabit menjalankan kegiatan mencuri kerbau dengan menggunakan penembak pelali, haiwan itu kemudiannya ditambat sebelum dibawa keluar menggunakan lori.

Artikel Berkaitan:

"Dengan penahanan itu, polis turut merampas dua kenderaan iaitu lori dan hilux, satu laras aluminium, jarum pelali, tali guni, satu botol ubat ketamil dan combistress serta empat unit handytalkie yang digunakan bagi menjalankan kegiatan itu," katanya.

Mohamad Roy Suhaimi berkata, pemeriksaan lanjut ke atas suspek mendapati seorang daripada mereka mempunyai dua rekod jenayah lampau antaranya merusuh.

"Polis akan mendapatkan tempoh tahanan reman hari ini (Selasa) bagi siasatan kes di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!