PKPD: 20 pemimpin setempat dipilih jadi petugas PKOB
KUANTAN - Seramai 20 pemimpin setempat dari Jaya Gading dan Sri Damai di sini dipilih sebagai petugas Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) dalam kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).
Penglibatan petugas PKOB dalam kalangan kepimpinan Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Kampung (JKKK) itu dimulakan di kawasan Jaya Gading di sini yang dilaksanakan PKPD bermula pada Selasa hingga 21 Jun depan.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, kumpulan tersebut telah dipilih dan didaftarkan di bawah PKOB dengan kebenaran pegawai daerah sebagai penggerak dan pembantu pihak berkuasa dalam kawasan tersebut.
Menurut beliau, kumpulan ini bukan penguat kuasa sebaliknya peranan mereka hanya sebagai pemantau dan membantu untuk tugas penyaluran bantuan.
"Kumpulan ini tinggal dalam kawasan Jaya Gading, jadi mereka arif dengan kawasan dan penduduk di sini untuk membantu menyalurkan maklumat berkaitan sebelum diambil tindakan oleh petugas serta pihak keselamatan.
"Mereka dilibatkan bersama dengan petugas sedia ada termasuk polis dan lain-lain agensi mengikut jadual tugas yang ditetapkan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas meninjau persiapan pelaksanaan PKPD di Jaya Gading di sini pada malam Isnin.
Hadir sama, Pegawai Daerah Kuantan, Tengku Datuk Nor Asmaliza Ku Lah dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Manis, Datuk Khairuddin Mahmud.
Mohamad Noor berkata, petugas PKOB dalam kalangan pemimpin komuniti ini disediakan 'vest' tertera perkataan PKOB sepanjang bertugas.
"Penglibatan bersama petugas PKOB ini akan membantu tugas-tugas melibatkan anggota masyarakat dalam kawasan ini, manakala petugas dan pihak keselamatan akan fokus kepada perkara utama lebih penting," katanya.
Tambah beliau, peranan petugas PKOB dalam kalangan pemimpin JKKK itu boleh dilaksanakan di kawasan lain yang dilaksanakan PKPD.
Sementara itu, Pengerusi JKKK Kampung Sri Damai, Mohd Amiruddin Mat Isa berkata, beliau menyambut baik langkah pihak berkuasa khususnya polis dan pejabat daerah memilih pemimpin JKKK sebagai petugas PKOB dalam kawasan Jaya Gading yang dikenakan PKPD.
Menurut Mohd Amiruddin, sebagai penduduk setempat, beliau dan pemimpin lain yang dipilih tahu selok belok dalam kawasan itu dan lebih dikenali masyarakat sekaligus memudahkan tugas pasukan keselamatan dan petugas lain.
"Saya sendiri rasa bertuah kerana dipilih sebagai petugas PKOB dan dengan kepercayaan ini, saya bersama rakan-rakan lain dapat membantu masyarakat di sini yang mungkin akan berdepan kesulitan sepanjang tempoh PKPD ini.
"Sebagai pemimpin setempat saya juga akan cuba pastikan tidak berlaku perlanggaran prosedur operasi standard (SOP) dalam kalangan masyarakat dengan menasihati mereka supaya akur arahan pihak berkuasa," katanya.
Tambahnya, peluang itu akan digunakan sebaik mungkin untuk membantu masyarakat dan pada masa sama membantu pihak berkuasa agar pelaksanaan PKPD di kawasan ini berjalan baik.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!