Operasi PATI: 83 organisasi tandatangani petisyen tidak setuju

Khamis lalu, Sinar Harian melaporkan Hamzah mengumumkan operasi besar-besaran menahan PATI dalam tempoh PKP dilaksanakan bagi memastikan golongan itu mempunyai dokumen sah bagi tujuan vaksinasi.
Khamis lalu, Sinar Harian melaporkan Hamzah mengumumkan operasi besar-besaran menahan PATI dalam tempoh PKP dilaksanakan bagi memastikan golongan itu mempunyai dokumen sah bagi tujuan vaksinasi.
A
A
A

GEORGETOWN - Sebanyak 83 organisasi dan 71 individu menandatangani satu petisyen kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung operasi penangkapan warga asing tanpa dokumen yang diumumkan kerajaan baru-baru ini.

Antara organisasi yang menandatangani petisyen tersebut adalah Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP); Aliran; Parti Sosialis Malaysia; Liga Rakyat Demokratik, G25 Malaysia dan Jaringan Rakyat Tertindas.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan CAP berkata, petisyen itu dilancarkan apabila mendapati keputusan kerajaan akan merumitkan lagi usaha melawan pandemik Covid-19 dalam kalangan rakyat Malaysia pada waktu ini.

Menurut kenyataan itu, mereka berpendapat operasi tersebut akan menakutkan pekerja asing sama ada yang berdokumen atau tidak berdokumen.

"Operasi yang akan dijalankan kelak akan menyebabkan mereka ini menjauhi mana-mana wakil pentadbiran kerajaan, sekaligus akan menggagalkan usaha kerajaan untuk mewujudkan imuniti kelompok (herd immunity) di Malaysia.

"Imuniti kelompok memerlukan penyuntikan vaksin bagi 80 peratus penduduk Malaysia termasuk komuniti warga asing. Kegagalan mencapai tahap vaksinasi 80 peratus penduduk akan melewatkan pemulihan ekonomi negara dan memanjangkan penderitaan rakyat kita," katanya pada Selasa.

Kenyataan itu berkata, sekiranya operasi besar-besaran itu dijalankan, ia dilihat akan mewujudkan kluster baharu di pusat tahanan Jabatan Imigresen.

"Jika wujud kluster baru, ia akan meningkatkan penularan wabak Covid-19 dalam kalangan pendatang asing tanpa izin (PATI). Tidak mustahil wabak itu akan berjangkit kepada pegawai Imigresen, anggota polis dan kakitangan mahkamah (yang terlibat dalam pengendalian reman) serta ahli-ahli keluarga mereka.

Artikel Berkaitan:

"Kebarangkalian ini boleh berlaku dan harus dielakkan. Selain itu, Jabatan Imigresen dilihat tidak mampu untuk menangkap dan menghantar balik dua hingga tiga juta PATI yang berada di negara ini," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Operasi besar-besaran tahan PATI mudahkan proses dokumentasi vaksinasi

Khamis lalu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin mengumumkan operasi besar-besaran menahan PATI dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan bagi memastikan golongan itu mempunyai dokumen sah bagi tujuan vaksinasi.

Beliau berkata, ia berikutan kerajaan tidak boleh memberikan vaksin kepada sesiapa yang tidak ada sebarang identiti dan dokumen dan pelaksanaan itu bertujuan mendapatkan imuniti kelompok bagi melindungi rakyat.

Dalam pada itu, menurut kenyataan itu, Hamzah perlu ingat bahawa setiap pelan tindakan yang diambil harus berasaskan analisa saintifik yang jelas, objektif dan munasabah.

"Pada masa ini, pendekatan menangkap dan menahan PATI akan memudaratkan usaha kerajaan mengawal penularan wabak Covid-19 di negara kita. Oleh itu, kami berharap agar beliau membawa isu ini ke Majlis Keselamatan Negara supaya satu pendekatan yang lebih sesuai dan bersepadu dapat digubal dalam pengendalian warga asing tanpa dokumen semasa Covid-19.

"Kami berpendapat, pada ketika ini, kita harus fokus kepada matlamat mengawal penularan wabak Covid-19 di negara kita. Matlamat-matlamat lain adalah sekunder dan harus ditangguhkan jika ia bercanggah dengan matlamat utama iaitu mengawal dan mengatasi penularan wabak tersebut," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!