Hidup susah selepas suami buta
RAUB - Kesempitan hidup mula dirasai oleh seorang suami kepada lima beranak di Kampung Gali Tengah yang kini terlantar akibat kemalangan di tempat kerja sejak lima tahun lalu kini ibarat sudah jatuh ditimpa tangga.
Zaidi Mat Khamis, 53 bukan sahaja terlantar malah turut tidak dapat melihat seperti biasa sampai bila-bila berikutan kemalangan yang menjejaskan otaknya.
Isterinya, Zarinah Yunus, 51 berkata, kejadian yang menimpa suaminya itu berlaku ketika Zaidi bekerja di sebuah kilang sarung tangan di Bentong.
"Kini saya terpaksa menguruskan keperluan dirinya seperti membersihkannya, makan minum dan sebagainya.
"Sejak kejadian itu menimpa suami saya, dia tidak dapat lagi bekerja kerana sebelum ini, dialah punca pendapatan kami semua satu keluarga," katanya di sini, semalam.
Zarinah berkata dia yang dulu bekerja di sebuah restoran kini telah diberhentikan akibat dirinya yang sering pengsan di tempat kerja yang diserang darah tinggi.
Menurutnya, walaupun menerima sumbangan daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) sebanyak RM500 sebulan, jumlah itu tidak mencukupi untuk menampung kos perbelanjaan harian mereka sekeluarga.
"Sejak suami saya kemalangan di tempat kerja, kos sara hidup kami semakin meningkat tambahan pula kos ubat suami saya yang menelan kos yang agak mahal.
"Ubat itu hanya bertahan untuk dua kali dalam sebulan dan dijual pada harga RM150 sekali beli yang tidak mampu dibeli oleh saya.
"Saya tidak tahu di mana lagi saya boleh dapatkan bantuan. Kalau saya boleh kerja memang saya nak kerja tapi apakan daya saya tidak mampu untuk menyara keluarga. Saya berharap agar orang ramai dapat menolong saya yang susah dan daif," katanya.
Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan bolehlah menerusi akaun Maybank Zaidi Mat Khamis bernombor 156012456124.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!