Bekalan minyak masak di Pahang mencukupi
KUANTAN - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pahang memberi jaminan bahawa bekalan minyak masak di negeri ini mencukupi dan tiada masalah kekurangan bekalan di semua peringkat rantaian pengedaran.
Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP Pahang, Normaswari Nordin berkata, peruncit dibenarkan menghadkan pembelian tiga peket minyak masak bersubsidi bagi setiap pelanggan bagi memastikan bekalan sentiasa ada dan mencukupi.
Menurut beliau, ia berikutan berlaku kenaikan harga minyak masak tidak bersubsidi di pasaran antara 16 hingga 24 peratus bermula sejak suku keempat tahun lalu disebabkan peningkatan kos di peringkat pengilangan ekoran kenaikan harga minyak sawit mentah dunia.
"Seksyen penguatkuasaan KPDNHEP Negeri Pahang dibantu Pegawai Pemantau Harga (PPH) sentiasa melakukan pemeriksaan bagi memantau 85 premis perniagaan yang menjadi tumpuan awam di seluruh Pahang setiap hari.
"Pada masa sama, kita turut memantau 307 premis di bawah skim 'Dedicated Retailer' (DDR) dan 'Dedicated Wholeseller' (DDW) bagi memastikan tahap bekalan barang keperluan pengguna termasuk minyak masak di negeri ini," katanya melalui satu kenyataan pada Selasa.
Normaswari berkata, sepanjang tahun ini, KPDNHEP Pahang telah melakukan 25,243 pemeriksaan ke atas premis perniagaan dan daripada jumlah ini, 32 kes direkodkan berkaitan kesalahan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 melibatkan nilai rampasan RM128,870 dan kompaun RM32,400.
"Sepanjang tahun ini, KPDNHEP Pahang hanya menerima dua aduan melibatkan harga dan bekalan bagi minyak masak," katanya.
Beliau berkata, pihak KPDNHEP Pahang akan sentiasa memastikan barangan keperluan pengguna mencukupi di negeri ini.
"Pada masa yang sama, kita menasihatkan pengguna agar bijak membuat pilihan berdasarkan kemampuan.
"Pegawai-pegawai penguat kuasa dan PPH akan terus digerakkan untuk memantau situasi bekalan barangan pengguna di pasaran seluruh negeri ini," katanya.
Tambah beliau, peniaga diingatkan supaya sentiasa menawarkan harga yang berpatutan dan tindakan akan diambil terhadap mereka sekiranya didapati berlaku aktiviti mengambil keuntungan yang berlebihan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!