Maidam salur RM4.2 juta bantu asnaf terjejas akibat 'total lockdown'

M Rozi
M Rozi
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) memperuntukkan RM4.2 juta bagi membantu asnaf di negeri tersebut yang terkesan akibat Sekatan Pergerakan Penuh atau ‘total lockdown’ bermula 1 Jun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Maidam, M Rozi Bidin berkata, bantuan sebanyak RM200 bagi setiap keluarga itu akan memberi manfaat kepada 21,492 ketua isi rumah yang berdaftar dalam rekod sebagai penerima bantuan zakat Maidam.

“Bantuan khas bagi meringankan bebanan dan kesulitan yang terpaksa dihadapi oleh asnaf ini akan disalurkan terus ke akaun masing-masing bermula bulan ini.

“Kita harap bantuan ini dapat digunakan sebaik mungkin oleh asnaf untuk membeli barangan keperluan harian terutama barangan makanan asas,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Menurutnya, bantuan sama diberikan kepada keluarga asnaf di Mukim Kuala Berang dan daerah Kuala Terengganu yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Bagaimanapun beliau berkata, peruntukan itu tidak termasuk 15 mukim di Besut dikenakan PKPD bermula 22 Mei lalu susulan Maidam sudah menyalurkan bantuan kepada asnaf yang terjejas di sana.

Sementara itu M Rozi berkata, Maidam mengagihkan sebanyak RM101.3 juta wang zakat kepada penerima layak dalam tempoh lima bulan tahun ini.

Katanya, sepanjang tempoh itu Maidam menggerakkan 10 inisiatif bantuan khas dalam menyantuni asnaf dan golongan terkesan akibat pandemik Covid-19.

Artikel Berkaitan:

“Antara inisiatif itu adalah sumbangan kepada pemandu teksi, penarik beca, penjaja dan tukang kasut, bantuan sempena Ramadan, agihan pelitup muka dan barang keperluan kepada calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang dikenakan kuarantin di asrama.

“Selain itu, kita turut mengagihkan tablet kepada anak asnaf melalui Yayasan Pendidikan Maidam, sumbangan kepada barisan petugas hadapan dan bantuan khas sempena PKPB pada awal tahun,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!