Bendung kes curi sarang burung walit
IPOH - Polis Perak akan mempergiatkan usaha bagi membendung kes kecurian dan pecah masuk ke dalam premis sarang burung walit di negeri ini.
Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Perak, Senior Asisten Komisioner Mohamad Laham berkata, pihaknya akan bekerjasama erat dengan pihak pengusaha untuk membendung kejadian jenayah itu daripada berleluasa.
Menurutnya, jaringan kerjasama kedua-dua pihak antara polis dan pengusaha amat diperlukan untuk memudahkan penjenayah itu dikesan.
"Kita dalam usaha untuk membendung kegiatan-kegiatan kecurian ataupun pecah masuk ke dalam sarang-sarang burung walit. Kita punya pendekatan begini, kita nak kerjasama erat di antara pihak pengusaha dan polis.
"Dengan adanya jaringan kerjasama bersama kami kita dapat selesaikan masalah ini. Antara cadangan, kita wujudkan grup WhatsApp antara pihak pengusaha dengan polis untuk memudahkan kita pergi ke tempat kejadian dengan cepat sekali gus menangani masalah ini daripada berlaku pada masa akan datang," katanya kepada pemberita, hari ini.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan Majlis Dialog Pengusaha-Pengusaha Sarang Burung Walit Negeri Perak bersama Polis Perak, di Mes Pegawai Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak, di sini, hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, Mohamad berkata, pengusaha sarang burung walit itu juga tidak seharusnya takut berjumpa dengan polis untuk memaklumkan lokasi atau kawasan premis mereka.
Katanya, perkara itu penting kerana pihak polis tidak mengetahui secara spesifik kawasan premis mereka dan jika berlaku kes pecah masuk sukar untuk polis mencari tempat tersebut.
"Biasanya, penjenayah akan potong wayar kamera litar tertutup dahulu dan pecahkan pintu premis sebab tempat itu tidak dijaga serta pengusaha jarang datang melawat. Jadi ada ruang pada mereka untuk menjalankan kerja.
"Ada premis yang terletak jauh daripada orang ramai dan kalau mereka (penjenayah) nak pecah masuk pun tak dengar. Tapi kalau susah nak buka mereka akan panjat sebab itu kalau kita tengok sesetengah premis ada jumpa tali," katanya.
Mohamad berkata, majlis dialog seumpama itu merupaka kali pertama dibuat pada tahun ini dan pihaknya merancang untuk mengadakan program tersebut dua kali setahun.
Katanya, pada tahun ini akan dibuat sekali lagi majlis dialog tersebut bagi melihat sejauhmana keberkesanan cadangan-cadangan yang diberikan ketika perbincangan itu dibuat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!