Wartawan, aktivis Myanmar diusir dapat suaka di negara ketiga

Tiga wartawan kanan Myanmar dan dua aktivis yang diusir setelah didakwa serta dihukum kerana masuk secara haram ke Thailand akhirnya diberi suaka oleh negara ketiga.Gambar hiasan. - Foto 123RF
Tiga wartawan kanan Myanmar dan dua aktivis yang diusir setelah didakwa serta dihukum kerana masuk secara haram ke Thailand akhirnya diberi suaka oleh negara ketiga.Gambar hiasan. - Foto 123RF
A
A
A

BANGKOK - Tiga wartawan kanan Myanmar dan dua aktivis yang diusir setelah didakwa serta dihukum kerana masuk secara haram ke Thailand akhirnya diberi suaka oleh negara ketiga yang tidak disebutkan namanya, menurut majikan mereka.

Wartawan yang bekerja untuk agensi berita dalam talian dan penyiaran Suara Demokrasi Burma (DVB) ditahan bersama dua aktivis yang tidak disebutkan namanya di bandar utara Chiang Mai pada 9 Mei. Mereka didakwa memasuki negara itu secara haram.

Dalam satu kenyataan, Pengarah Eksekutif dan Ketua Pengarang DVB, Aye Chan Naing mengatakan kelima-lima mereka telah meninggalkan Thailand baru-baru ini dan kini berada dalam keadaan selamat di negara 'ketiga'.

"DVB tidak dapat menjelaskan lebih lanjut mengenai negara mana yang menerima mereka, kerana keseluruhan kes itu masih sangat sensitif.

"Lebih banyak maklumat akan dikongsi apabila keadaan keselamatan mereka mengizinkan," katanya.

Pada 28 Mei, mahkamah Chiang Mai menjatuhkan hukuman penjara lima hingga tujuh bulan kerana memasuki Thailand secara haram, tetapi menangguhkan hukuman selama setahun.

Aye Chan Naing mengucapkan terima kasih kepada semua pihak di Thailand dan di seluruh dunia yang membantu memastikan keselamatan mereka.

"Pada masa ini mereka masih dalam fasa pemulihan tetapi mereka akan meneruskan tugas mereka untuk DVB dalam waktu dekat," katanya.

Artikel Berkaitan:

Meskipun lesennya telah dibatalkan pada 8 Mac, DVB terus melaporkan, menyiarkan kemas kini di halaman Facebooknya mengenai protes dan tindakan keras di Myanmar sejak rampasan kuasa tentera pada Februari lepas, termasuk protes berdarah anti kudeta.

Myanmar bergolak sejak tentera menggulingkan pemimpin Aung San Suu Kyi pada 1 Februari dan telah mencetuskan tunjuk perasaan di seluruh negara.

Sekurang-kurangnya 857 orang telah dibunuh oleh pasukan keselamatan dan lebih 5,800 orang telah ditangkap sejak rampasan kuasa tentera, menurut kumpulan penyokong Persatuan Bantuan Tahanan Politik (AAPP). - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!