Penduduk Shah Alam patuh SOP 'total lockdown'
SHAH ALAM – Tahap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Sekatan Pergerakan Penuh atau 'total lockdown' penduduk Shah Alam adalah melebihi 90 peratus.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, tahap pematuhan penduduk di kawasan itu adalah memuaskan.
"Saya mendapati pematuhan SOP oleh penduduk memang tinggi, saya boleh katakan lebih 90 peratus,” katanya pada sidang akhbar selepas membuat pemantauan Pematuhan SOP Sekatan Pergerakan Penuh di Stesen Komuter Shah Alam dan Padang Jawa pada Selasa.
Dalam pada itu, Baharudin berkata, pihaknya mengeluarkan sebanyak 18 kompaun di kedai makan pada Isnin.
"Kita mendapati ada sesetengah pekerjanya tidak memakai pelitup muka dengan betul serta pelanggan yang tidak mengimbas kod QR MySejahtera," katanya.
Dalam perkembangan sama, Baharudin turut berpuas hati dengan pematuhan SOP oleh penumpang tren KTM Komuter.
"Saya dimaklumkan bilangan penumpang tren KTM Komuter berkurangan antara lima hingga 10 peratus berbanding hari biasa sebelum Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 dilaksanakan," katanya.
Baharudin memaklumkan pihaknya turut mewujudkan dua pasukan khas untuk memantau pematuhan SOP pengangkutan awam pada setiap hari yang dilakukan secara rawak.
“Pemantauan secara rawak dilakukan lebih terperinci pada waktu puncak iaitu pada waktu pagi dan petang,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!