Laporan kemalangan LRT dibentang ke kabinet esok: Ka Siong
PUTRAJAYA - Laporan siasatan kemalangan membabitkan tren Transit Aliran Ringan (LRT) pada 24 Mei lepas akan dibentangkan pada mesyuarat Kabinet esok, kata Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.
Menerusi hantaran di laman Facebook rasminya hari ini, Ka Siong berkata, laporan itu disediakan oleh Jawatankuasa Siasatan yang terdiri daripada sembilan anggota diketuai oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan Datuk Isham Ishak.
ARTIKEL BERKAITAN: Kemalangan LRT pertama kali selepas 23 tahun beroperasi
Ka Siong yang berpuas hati dengan hasil laporan tersebut turut menyatakan bahawa ia dibuat secara profesional, komprehensif dalam perinciannya serta diselesaikan dalam tempoh 14 hari yang diberikan kepada jawatankuasa itu.
“Tahniah dan syabas diucapkan kepada pasukan Jawatankuasa Siasatan atas usaha keras beberapa hari ini, bertungkus-lumus siang malam termasuk turun padang ke Pusat Kawalan Operasi (OCC) LRT Kelana Jaya, membuat sesi simulasi di tempat kejadian, temu siasat serta meneliti dokumen-dokumen panduan operasi berkaitan,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: LRT bertembung: Enam penumpang kritikal
Insiden pada jam 8.33 malam 24 Mei lepas mengakibatkan sebuah tren tanpa penumpang bertembung dengan sebuah lagi tren yang membawa 213 penumpang dalam terowong antara stesen LRT Kampung Baru dan stesen LRT KLCC.
Berkongsi mengenai isi kandungan laporan yang sedang diteliti itu, Wee berkata terdapat beberapa cadangan untuk meningkatkan keselamatan serta prosedur operasi standard (SOP) tren Rapid Rail.
ARTIKEL BERKAITAN: Siasatan insiden LRT harus dilakukan dengan telus
“Bukan setakat meningkatkan mutu perkhidmatan Rapid Rail, tetapi penemuan dan cadangan ini juga akan dapat meningkatkan infrastruktur perkhidmatan kereta api Malaysia untuk jangka panjang,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!