Edar risalah keselamatan pupuk kesedaran komuniti maritim
KUANTAN - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pahang mengambil inisiatif mengedar risalah keselamatan di laut kepada komuniti maritim sekitar Teluk Gading, Rompin sempena sambutan Hari Kesedaran Keselamatan Maritim Peringkat Kebangsaan, pada Isnin.
Ketua Pos Maritim Teluk Gading, Leftenan Madya Maritim Faiz Sukarmo berkata, inisiatif itu bertujuan meningkatkan kesedaran komuniti maritim terutamanya ahli-ahli persatuan nelayan di kawasan tersebut
Menurutnya, inisiatif itu antara pengisian sambutan yang julung-julung kali diadakan dan disambut pada 6 Jun setiap tahun bagi memupuk kesedaran tentang kepentingan keselamatan semasa berada di laut.
"Melalui program ini, anggota terlibat turut menyampaikan penerangan ringkas mengenai operasi carilamat yang diterajui Maritim Malaysia selama ini.
"Tinjauan dan inisiatif bertanya khabar juga dilakukan ke atas kelompok masyarakat pesisir pantai dengan mengagihkan risalah-risalah berkaitan serta memberi penerangan ringkas tata cara pemakaian jaket keselamatan yang betul serta pematuhan kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) bekerja di atas bot, khususnya dalam situasi pandemik Covid-19," katanya melalui satu kenyataan pada Selasa.
Faiz berkata, interaksi santai dengan pematuhan ketat SOP kali ini memberi ruang dan peluang perkongsian maklumat terutamanya ke arah menangani isu-isu keselamatan serta aktiviti-aktiviti yang melanggar undang-undang di perairan Pahang.
Tambah beliau, usaha itu juga dapat mendekatkan Maritim Malaysia dengan nelayan tempatan yang mampu berperanan sebagai mata dan telinga pasukan dalam menyalurkan maklumat dan aduan sekiranya diperlukan.
"Sebarang aduan dan maklumat boleh disalurkan ke Pusat Operasi Maritim Negeri Pahang di talian 09-5717345 atau melalui talian bantuan kecemasan MERS 999," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!