Kelantan bakal laksana 31 program Outreach Vaksinasi Covid-19

Zaini (kanan) meninjau meninjau program 'outreach' vaksinasi Covid-19 di Masjid Mukim Banggol pada Selasa.
Zaini (kanan) meninjau meninjau program 'outreach' vaksinasi Covid-19 di Masjid Mukim Banggol pada Selasa.
A
A
A

KOTA BHARU – Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan merancang melaksanakan 31 program 'outreach' vaksinasi Covid-19 dalam waktu terdekat di negeri ini bagi membuka ruang kepada komuniti setempat mendapatkan vaksinasi masing-masing dengan lebih mudah.

Pengarahnya, Datuk Dr Zaini Hussin berkata, kini sebanyak 10 lokasi telah dikenal pasti untuk pelaksanaan program berkenaan dan ia dilaksanakan secara berperingkat termasuklah di kawasan Jeli, Kuala Krai, Kota Bharu dan Pasir Mas.

Menurutnya, dengan pembukaan tersebut, ia akan memudahkan lagi komuniti terutamanya golongan warga emas untuk mendapatkan vaksin mereka tanpa keluar ke bandar dan sejak dimulakan, ia mendapat sokongan dan galakan hampir 100 peratus daripada penduduk yang terlibat.

"Program ini akan melibatkan jangka masa minimum tiga hari dan maksimum dua minggu, bergantung kepada jumlah komuniti setempat tersebut. Malah ia akan turut melibatkan kerjasama beberapa pihak terutamanya ketua jajahan, penghulu serta penggawa setempat.

“Setiap program kita akan libatkan kakitangan teknikal dengan jumlah yang paling minimum dan mereka akan dibantu dengan sukarelawan dan agensi-agensi yang berkaitan. Ada sesetengah lokasi melibatkan kawasan yang luas dan sebagainya, semua itu terpulang kepada jumlah penduduk di kawasan berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau program 'outreach' vaksinasi Covid-19 di Masjid Mukim Banggol, di sini pada Selasa.

Mengulas lanjut, Zaini berkata, untuk setiap lokasi 'outreach' berkenaan, beliau menjangkakan sebanyak 250 hingga 600 orang sehari dapat divaksin mengikut keluasan 'outreach' berkenaan.

Malah katanya, sebanyak 120,000 dos vaksin telah diberikan untuk dos pertama dan untuk dos kedua pula sebanyak 56,000 dos membabitkan rakyat di seluruh negeri.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, untuk penduduk Orang Asli di Gua Musang, Zaini memberitahu, pejabat Kesihatan Gua Musang telah merancang program yang bersesuaian bagi mengadakan vaksinasi kepada mereka.

“Mereka telah merancang aktiviti tersebut dan ia menunjukkan tiada siapa yang akan tertinggal dalam menerima vaksinasi Covid-19 masing-masing,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!