PPV industri pertama di Johor dibuka di Pengerang

Khairy Jamaluddin Abu Bakar
Khairy Jamaluddin Abu Bakar
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Pusat Pemberian Vaksin ( PPV) industri yang pertama di Johor akan dibuka di Projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (Rapid) Pengerang, Kota Tinggi pada 16 Jun ini.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, pembukaan PPV terbabit bertujuan memastikan pekerja-pekerja di negeri itu yang bekerja dalam tempoh pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) ketika ini divaksin.

"Selain Pengerang, PPV industri turut akan dibuka di kawasan Mount Austin pada akhir bulan ini. Ini disebabkan kerajaan telah membuat dasar untuk memberi vaksin kepada sektor-sektor yang terpaksa beroperasi ketika PKP," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar yang diadakan selepas mempengerusikan Mesyuarat Badan Bertindak Program Imunisasi Covid-19 (CITF)Johor, di Kota Iskandar di sini pada Selasa.

Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad dan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R. Vidyananthan.

Khairy yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata kerajaan menyasarkan lebih 200,000 orang sehari akan disuntik vaksin Covid-19 bermula Julai ini, diikuti lebih 300,000 orang sehari mulai Ogos depan.

Katanya, bagi mencapai sasaran itu lebih banyak banyak Pusat Pemberian Vaksin (PPV) seluruh negara melibatkan peringkat daerah dan negeri.

"Itulah sebab utama saya ke beberapa negeri termasuk Johor pada Selasa. Tujuannya bagi memastikan pembukaan lebih banyak PPV berskala besar selain bekerjasama bersama sektor swasta sekali gus dapat mempertingkatkan pemberian vaksin dalam masa terdekat.

Artikel Berkaitan:

"Julai ini kita perlu memvaksin lebih 200,000 penerima sehari dan diikuti Ogos ini dengan sasaran 300,000 penerima sehari.

"Bagi mencapai sasaran itu, kita sedang memanggil lebih banyak tenaga kerja membabitkan profesional perubatan termasuk pesara doktor dan jururawat, doktor pelatih dan pelajar perubatan," katanya.

Khairy berkata, kerajaan juga yakin sasaran memvaksin 80 peratus rakyat negara ini akan tercapai menjelang akhir tahun ini.

"Selagi bekalan vaksin dibekalkan pengeluar secara berterusan saya rasa sasaran itu dapat dicapai.

"Malaysia sudah memuktamadkan jadual penghantaran 25 juta dos vaksin Pfizer-BioNTech yang akan dihantar pada suku ketiga tahun ini bermula Julai, Ogos dan September.

"Selain itu, kita juga sedang menunggu jadual ketibaan vaksin Sinovac selain menanti penghantaran AstraZenecca," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!