Gesa kerajaan beri moratorium automatik tanpa syarat

Ahmad Yazid Othman
Ahmad Yazid Othman
A
A
A

SHAH ALAM - Gabungan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Melayu dan Islam menggesa kerajaan agar mengarahkan pihak pemberi pinjaman kewangan memberikan moratorium automatik dan tanpa syarat kepada semua golongan B40 (kumpulan isi rumah berpendapatan 40 peratus rendah) dan M40 (kumpulan isi rumah berpendapatan 40 peratus pertengahan) selama enam bulan.

Koordinator Gabungan NGO Melayu dan Islam, Ahmad Yazid Othman berkata, moratorium automatik tersebut amat diperlukan oleh semua rakyat memandangkan pihak kerajaan tidak mampu memberikan bantuan tunai yang setimpal dengan kos kerugian yang ditanggung rakyat ketika ini.

Menurutnya, pemberian moratorium secara automatik berupaya untuk meringankan beban dan aliran tunai rakyat ketika ini.

“Kerajaan perlu beri moratorium automatik tanpa mengenakan sebarang faedah atau keuntungan tambahan termasuk apa jua bentuk caj sepanjang tempoh berkenaan.

“Bantuan yang diberikan setakat ini jauh lebih rendah daripada Garis Kemiskinan Kebangsaan sebanyak RM2,208 yang mana kebanyakan rakyat terbeban dengan hutang pinjaman sewaktu krisis wabak Covid-19.

“Moratorium automatik ini adalah perkara ‘hidup atau mati’ dari segi menyambung kehidupan harian mereka dan mampu menghindar mereka daripada terjebak dengan hutang ah long dan masalah sosial,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Justeru, pihaknya menyeru agar kerajaan menggunakan segala kuasa yang diberikan oleh Yang di-Pertuan Agong semasa tempoh darurat bagi menangani krisis ekonomi dan kesihatan tersebut dengan berkesan.

Jelasnya, rakyat memberikan kepercayaan kepada kepimpinan kerajaan untuk melaksanakan amanah tersebut demi kepentingan rakyat Malaysia.

Artikel Berkaitan:

“Rakyat sedang memerhatikan setiap tindakan yang diambil sama ada ia benar-benar menggambarkan keprihatinan terhadap kumpulan majoriti rakyat yang terkesan kelangsungan kehidupan mereka sepanjang pandemik Covid-19 ini.

“Kami juga menyeru kepada seluruh rakyat yang ingin bersolidariti dengan gesaan ini supaya mengemukakannya dengan menyokong petisyen yang dilancarkan dua hari lepas dan setakat ini telah berjaya mengumpulkan lebih 10,000 sokongan,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!