Minyak masak botol plastik, tin tidak bersubsidi
PUTRAJAYA - Minyak masak yang dijual dalam botol plastik bersaiz dua, tiga dan lima kilogram (kg) serta di dalam tin 17kg adalah tidak bersubsidi.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, harganya ditentukan oleh harga minyak masak mentah (CPO) di pasaran dunia.
"Pada masa ini, harga CPO di pasaran dunia sudah mencecah lebih RM4,500 tan metrik berbanding sebelum ini hanya sekitar RM2,500 tan metrik sahaja. Ia bersamaan lebih kurang RM4.50 per kg sebelum diproses dan dibotolkan," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Beliau berkata, ini bermakna kos minyak sawit mentah sebelum dibotolkan sudah melebihi RM22 untuk lima kg.
"Itu tidak termasuk kos-kos lain seperti pemprosesan, pembotolan, pengangkutan dan keuntungan di semua peringkat kilang, pemborong, pengedar dan peruncit," katanya.
Nanta berkata, pelaksanaan Program Skim Rasionalisasi Minyak Masak (COSS) merupakan program subsidi minyak masak bertujuan untuk meringankan beban pengguna dalam kos sara hidup mereka.
"Mekanisme ini terbuka kepada semua golongan untuk mendapatkan minyak masak dengan harga berpatutan," katanya.
Menurutnya, subsidi itu diberikan kepada minyak masak yang dijual dalam bungkusan polibeg satu kg dan ditawarkan pada harga mampu milik sangat munasabah iaitu RM2.50 sepeket.
"Kerajaan telah memperuntukkan sebanyak 60,000 tan metrik sebulan atau 720,000 tan metrik setahun. Ia bersamaan dengan 60 juta polibeg sebulan dan 720 juta polibeg setahun untuk kegunaan seluruh rakyat Malaysia," katanya.
Beliau bagaimanapun berkata, kerajaan memberi jaminan kualiti minyak masak sawit bersubsidi yang dijual dalam polibeg adalah sama dengan yang dijual dalam botol, malah ada di antaranya dikeluarkan dari kilang sama.
"Rakyat boleh membuat pilihan sama ada hendak membeli minyak masak bersubsidi dalam kemasan polibeg satu kg atau yang tidak bersubsidi dalam kemasan botol plastik dan tin," katanya.
Sementara itu, beliau berkata, KPDNHEP sedang berbincang dengan beberapa kementerian serta agensi berkaitan untuk mempertingkatkan mekanisme pelaksanaan harga minyak masak bersubsidi dan tidak bersubsidi di pasaran bagi mengurangkan beban pengguna.
"Kerajaan akan memaklumkan hasil dari perbincangan dan mekanisme yang dipersetujui," katanya.
Ujarnya, penguat kuasa KPDNHEP sentiasa memantau bekalan dan harga barangan di pasaran setiap hari.
"Mereka tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011 jika terbukti peniaga melakukan pencatutan terhadap harga barang termasuk minyak masak.
"Kementerian juga sentiasa proaktif dalam memastikan tiada ketirisan dalam bekalan minyak masak bersubsidi," katanya.
Beliau berkata, KPDNHEP akan melaksanakan kuasa yang diberikan kepada kementerian seperti mengenakan harga kawalan atau harga maksimum sekiranya didapati harga sesuatu barang itu melonjak kepada paras tidak munasabah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!