Jangan gentar amaran awal Vietnam

KHALID
KHALID
A
A
A

SKUAD Harimau Malaya tidak seharusnya berasa gentar dengan kejayaan Vietnam membenam Indonesia 4-0 pada aksi Kumpulan G Pusingan Kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) awal pagi Selasa.

Legenda bola sepak negara, Khalid Ali berkata, skuad Harimau Malaya bimbingan Tan Cheng Hoe sebaliknya lebih fokus dan tidak sesekali hilang keyakinan terhadap keupayaan mereka untuk mengejutkan Vietnam meskipun statistik semasa lebih berpihak kepada pasukan lawan.

Beliau berkata, Malaysia wajib meraih kemenangan dalam baki dua perlawanan menentang Vietnam pada tengah malam Sabtu ini dan Thailand (16 Jun), sekiranya tidak mahu impian layak ke pusingan akhir Piala Asia 2023 musnah.

“Kita lebih hebat berbanding Vietnam, pemain kena percaya mereka lebih bagus daripada Vietnam. Mereka (pemain) perlu bangkit dengan prestasi jauh lebih baik berbanding dalam perlawanan sebelum ini dan bermain sebagai satu pasukan. Pemain perlu bekerjasama, baru boleh atasi Vietnam,” katanya.

Kemenangan 4-0 ke atas Indonesia di Stadium Al Maktoum, Dubai itu menyaksikan seolah-olah Vietnam memberi amaran awal menjelang pertembungan di venue sama menentang skuad Harimau Malaya.

Empat gol skuad Naga Emas itu yang hadir pada babak kedua perlawanan masing-masing dijaringkan Nguyen Tien Linh pada minit ke-51, Nguyen Quang Hai (62), Nguyen Cong Phuong (67) dan Vu Van Thanh (74).

Pada masa sama, kejayaan itu turut meletakkan skuad bimbingan Park Hang-seo selesa mendahului saingan Kumpulan G dengan mengumpul 14 mata selepas enam perlawanan.

Malaysia kini berada di kedudukan keempat dengan berkongsi sembilan mata bersama pasukan di kedudukan ketiga Thailand yang tewas 1-3 kepada UAE dalam satu lagi aksi kumpulan di Stadium Zabeel, Dubai awal pagi Selasa.

Artikel Berkaitan:

Jaringan Caio Canedo Correa pada minit ke-14, Fabio Lima (33) dan Mohammad Juma Eid pada penghujung permainan itu menafikan kebangkitan Thailand menerusi gol Suphanat Mueanta pada minit ke-54, sekali gus membantu UAE kekal di kedudukan kedua dengan mengumpul 12 mata.

Sementara itu, kedudukan semasa dalam kumpulan menyaksikan persaingan merebut dua tempat teratas bagi meraih slot automatik ke pusingan akhir Piala Asia 2023 semakin sengit dengan Malaysia kini berdepan tekanan dalam misi wajib menang ke atas Vietnam.

Berdasarkan rekod, skuad kebangsaan hanya berjaya mencatat satu keputusan seri dalam empat perlawanan terakhir menentang Vietnam dengan pertemuan terbaharu Malaysia tewas 0-1 dalam aksi kumpulan kempen kelayakan ketika berkunjung ke Hanoi pada Oktober 2019.

“Kita tidak boleh turun menentang Vietnam dengan gaya permainan ketika bertemu UAE, kita kena lebih menyerang daripada bertahan, ia akan lebih memberi peluang kepada jentera serangan untuk bekerja dan cuba menghasilkan impak dalam permainan,” kata Khalid.

Terdahulu, Malaysia memulakan semula saingan kempen kelayakan itu yang tertangguh lebih setahun susulan pandemik Covid-19 dengan kekalahan 0-4 kepada UAE di Stadium Zabeel, Sabtu lepas. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!