Lambakan pisang: Agih tiga tan di kawasan PKPD Sabak Bernam

Amri (kanan) menerima agihan pisang berangan daripada Aini Waznati untuk diagihkan kepada penduduk di tiga taman perumahan Sabak Bernam yang dikenakan PKPD.
Amri (kanan) menerima agihan pisang berangan daripada Aini Waznati untuk diagihkan kepada penduduk di tiga taman perumahan Sabak Bernam yang dikenakan PKPD.
A
A
A

SABAK BERNAM - Jabatan Pertanian Daerah Sabak Bernam mengagihkan tiga tan metrik pisang berangan di tiga taman perumahan di daerah itu yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Pegawai Daerah Sabak Bernam, Amri Ismail berkata, inisiatif itu dilakukan bagi membantu petani menangani masalah lambakan pisang berangan di daerah berkenaan.

Menurutnya, usaha itu secara tidak langsung dapat mengurangkan beban yang ditanggung petani dalam tempoh PKP.

"Inisiatif ini bukan sahaja menangani isu lambakan pisang berangan semata-mata, tetapi ia secara tidak langsung membantu petani mendapatkan modal dan mengelakkan menanggung kerugian berterusan," katanya ketika ditemui di Pusat Kawalan Operasi Bencana Taman Pertama di sini pada Selasa.

Tiga taman perumahan di daerah Sabak Bernam yang dikenakakan PKPD ialah Taman Pertama, Taman Serendah dan Taman Prima sejak 30 Mei lalu.

Sementara itu, Pegawai Pertanian Daerah Sabak Bernam, Aini Waznati Lasuan berkata, pihaknya turut menggerakkan inisiatif sama dengan mengedarkan pisang berangan kepada petugas barisan hadapan di daerah Sabak Bernam.

"Misalnya, pagi (Selasa) tadi, kami telah mengedarkan ke pejabat kerajaan seperti klinik kesihatan, balai polis dan lokasi Sekatan Jalan Raya (SJR) sekitar daerah Sabak Bernam," katanya.

Beliau memberitahu, program promosi hasil pertanian itu sebelum ini dilaksanakan di peringkat negeri oleh Jabatan Pertanian Selangor pada 3 Jun lalu.

Artikel Berkaitan:

"Dalam program itu, kami mengagihkan sebanyak 2.5 tan pisang dari daerah Sabak Bernam ke sekitar Lembah Klang seperti di pejabat kerajaan, balai polis, hospital sekitar Shah Alam dan penjara.

"Susulan itu, kita meneruskan program sama di peringkat daerah Sabak Bernam bagi membantu petani terjejas akibat masalah untuk memasarkan hasil pertanian masing-masing," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!