Powerman Asia-Malaysia kembali ke Putrajaya
“KAMI sangat gembira dapat membawa kembali Kejohanan Powerman Asia-Malaysia pada 2019 ke Dataran Putrajaya pada Mac ini. Acara tahunan ini terus mendapat sambutan menggalakkan setiap tahun, terutamanya dengan sokongan kuat daripada masyarakat di Malaysia, rantau ini dan seluruh dunia.
“Selepas kejayaan dengan penyertaan terbesar atlet dalam siri Powerman pada 2018, kami sangat teruja dan mengalu-alukan peserta ke Putrajaya pada 2019 untuk mengambil bahagian dalam apa yang sebenarnya menjadi acara utama dalam kalendar sukan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif E-Plus Global Sdn Bhd Andrew Ching dalam kenyataan semalam.
E-Plus Global Sdn Bhd adalah promoter serta penganjur Kejohanan Powerman Asia-Malaysia, dan acara itu diiktiraf Persatuan Powerman Antarabangsa (IPA), Konfederasi Triathlon Asia (ASTC) dan Persatuan Triathlon Malaysia (TRIAM).
Menurut kenyataan tersebut, kembalinya saingan berkenaan ke Putrajaya, yang merupakan antara venue utama kejohanan duathlon di Asia, dijangka mampu menarik penyertaan lebih ramai peserta seluruh dunia bagi memburu gelaran dalam Kejohanan Asia itu.
Edisi Kejohanan Powerman Asia-Malaysia 2019 itu akan melibatkan format perlumbaan tradisi dan klasik berlari-berbasikal-berlari sejauh 10 km-60 km-10 km serta 5 km-30 km-5 km.
Perlumbaan itu akan berlangsung dalam dua kategori - individu dan berganti-ganti, selain kategori untuk kanak-kanak dan belia dengan jarak berbeza.
Sebagai kemuncak saingan duathlon antarabangsa, Kejohanan Powerman Asia-Malaysia sudah menempa nama sebagai platform utama bagi pelari dan pelumba berbasikal untuk mahir dalam kedua-dua disiplin tersebut.
Hari pertama perlumbaan adalah untuk kategori kanak-kanak dan remaja, manakala saingan utama Powerman dijadual pada 3 Mac. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!