SPRM tahan 6 kakitangan bank minta rasuah lulus pinjaman peribadi

Antara barangan yang dirampas oleh SPRM.
Antara barangan yang dirampas oleh SPRM.
A
A
A

SHAH ALAM - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menahan enam pegawai dan kakitangan sebuah bank kerana disyaki meminta dan menerima rasuah daripada pemohon-pemohon pinjaman peribadi melibatkan 110 transaksi berjumlah kira-kira RM18 juta.

Kesemua suspek lelaki berusia antara 36 hingga 45 tahun tersebut ditahan kira-kira jam 4.45 petang di Pejabat SPRM Selangor di sini, pada Selasa.

Menurut sumber, wang rasuah tersebut ialah sebagai balasan untuk meluluskan permohonan pembiayaan darpada pemohon-pemohon yang sebenarnya tidak layak untuk membuat pinjaman.

"Mereka dipercayai telah meminta dan menerima wang suapan antara 15 hingga 35 peratus daripada sejumlah 110 pinjaman pembiayaan peribadi yang bernilai lebih kurang RM18 juta," kata sumber berkenaan.

Sumber turut memberitahu, pegawai dan kakitangan tersebut bertugas di beberapa cawangan bank tersebut di sekitar Lembah Klang.

Difahamkan, SPRM juga telah merampas wang tunai berjumlah kira-kira RM69,000 dan beberapa jam tangan mewah serta telefon bimbit daripada suspek tersebut dengan nilai keseluruhan sitaan berjumlah lebih RM100,000.

Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim, ketika dihubungi, mengesahkan penahanan itu.

Katanya, kesemua suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam pagi esok untuk permohonan reman.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!