Merdeka 118 kini jadi menara tertinggi di Malaysia

Kenyataan akhbar oleh PMVSB pada Selasa.
Kenyataan akhbar oleh PMVSB pada Selasa.
A
A
A

SHAH ALAM - PNB Merdeka Ventures Sendirian Berhad (PMVSB) melakar pencapaian baharu selepas berjaya menyempurnakan pembinaan lantai terakhir iaitu bumbung kepada tingkat 118 bagi menara Merdeka 118 dan kini menjadikannya sebagai menara tertinggi di Malaysia.

Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan Permodalan Nasional Berhad (PNB), Ahmad Zulqarnain Onn berkata, penyempurnaan binaan tersebut merupakan antara pencapaian utama dalam projek menara Merdeka 118 yang dilaksanakan oleh anak syarikat milik penuh PNB itu.

Menurutnya, menara yang kini telah siap 81 peratus itu juga bakal dinobatkan sebagai bangunan tertinggi di Asia Tenggara dengan ketinggian sekurang-kurangnya 644 meter apabila siap dibina pada tahun 2022.

“Kami gembira untuk mengumumkan bahawa menara Merdeka 118 telah berjaya menyempurnakan pemasangan lantai terakhir di tingkat 118. Peristiwa yang bermakna dalam pembinaan Merdeka 118 ini menambahkan lagi seri latar langit Kuala Lumpur yang sedia ada.

“Kami ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat di dalam projek ini, terutama sekali bagi mereka yang telah bekerja keras ke arah pencapaian bersejarah ini," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Mengulas lanjut, Ahmad Zulqarnain berkata, Merdeka 118 merupakan bangunan yang merangkumi 278,709 meter persegi ruang luas lantai dan terdiri daripada 154,219 meter persegi luas sewaan bersih ruang pejabat Gred-A serta kira-kira 92,903 meter persegi ruang niaga.

Menurutnya, beberapa ciri mengagumkan yang telah dibangunkan di menara itu adalah dek pemerhatian ‘The View at 118’ yang akan menjadi dek tertinggi di Asia Tenggara dan juga satu-satunya Hotel Park Hyatt di Malaysia yang terletak di 17 tingkat teratas bangunan tersebut.

“Dihubungkan secara terus dari menara adalah ‘118 Mall’, sebuah pusat beli-belah dengan pelbagai peluang perniagaan menarik yang dikelilingi kehijauan serta taman terbuka 'Merdeka Boulevard at 118' seluas 1.62 hektar untuk dinikmati orang ramai, di samping tiga menara kediaman eksklusif,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Ahmad Zulqarnain menambah, Presint Merdeka 118 akan turut menampilkan sebuah muzium tekstil yang mengetengahkan tesktil dunia Melayu di samping sebuah pusat jagaan kanak-kanak berumur tujuh tahun dan ke bawah serta Masjid Merdeka dengan kapasiti ruang seramai 3,000 jemaah.

Merdeka 118 merupakan mercu tanda yang dibangunkan di kawasan bersejarah pusat bandaraya Kuala Lumpur dan terletak di antara dua binaan warisan negara iaitu Stadium Merdeka dan Stadium Negara.

Kedudukan menara tersebut mencerminkan penyatuan luar biasa antara seni bina bersejarah dan kontemporari di kawasan tersebut.

Sebagai pemilik kedua-dua stadium berkenaan, PNB telah melaksanakan penyelenggaraan dan penjagaan yang teliti untuk mengekalkan dan memulihara warisan sejarah negara yang menjadi lambang keharmonian dan kekayaan sejarah, evolusi dan masa hadapan Malaysia.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!