Kontroversi kematian ketua Boko Haram

Ketua Boko Haram, Abubakar Shekau mula memimpin kumpulan itu sejak tahun 2009 lagi. - Foto AFP
Ketua Boko Haram, Abubakar Shekau mula memimpin kumpulan itu sejak tahun 2009 lagi. - Foto AFP
A
A
A

SEORANG pemimpin Boko Haram, Abubakar Shekau dikatakan telah membunuh diri ketika kumpulannya bertempur dengan kumpulan Daesh Wilayah Afrika Barat (ISWAP) di sebuah hutan di timur laut negara itu pada bulan lalu.

Dakwaan kematian Abubakar itu berlaku menerusi satu rakaman suara yang diperoleh oleh agensi berita AFP daripada kumpulan ISWAP iaitu dua minggu selepas terdapat laporan bahawa dia telah meninggal dunia.

Bagaimanapun, sehingga kini kematian pemimpin itu masih belum disahkan oleh kerajaan Nigeria yang menyatakan mereka masih menyiasat bagi menentukan sama ada Shekau benar-benar meninggal dunia.

Sehingga Selasa lalu, Boko Haram masih belum membuat komen tentang kematian ketua mereka itu.

Pita rakaman itu pula tidak mempunyai tarikh tetapi diberikan kepada AFP oleh sumber yang sama telah membawa mesej-mesej daripada kumpulan ISWAP kepada agensi berita tersebut.

Menerusi rakaman itu, terdapat suara yang menyatakan bahawa beberapa anggota ISWAP telah dihantar ke hutan Sambisa dan menemui Shekau sedang duduk di dalam rumahnya sebelum dia terlibat dalam pertempuran bersenjata dengan mereka.

Ketua Boko Haram itu kemudiannya melarikan diri dan memasuki ke dalam belukar selama lima hari sebelum anggota-anggota kumpulan tersebut menemuinya dan meminta dia dan para pengikutnya bertaubat.

Namun, Abubakar enggan berbuat demikian menyebabkan dia bertindak membunuh diri sekali gus mengakibatkan kumpulan ISWAP berasa gembira kerana menganggapannya sebagai 'pencetus masalah,' kata suara yang diperdengarkan melalui rakaman tersebut.

Artikel Berkaitan:

Kumpulan Boko Haram dikenali dengan aktiviti seperti serangan bom, penculikan dan menyerang penjara-penjara di Nigeria. - Foto AFP
Kumpulan Boko Haram dikenali dengan aktiviti seperti serangan bom, penculikan dan menyerang penjara-penjara di Nigeria. - Foto AFP

Dalam pada itu, menurut BBC, suara dalam pita tersebut dipercayai sebagai pemimpin ISWAP iaitu Abu Musab al-Barnawi dengan menyatakan ketua Boko Haram tersebut membunuh diri dengan meletupkan satu bahan letupan.

ISWAP sebelum ini berpisah dengan Boko Haram pada tahun 2016 dan pernah menentang tindakan Abubakar yang menjadikan orang awam Muslim sebagai sasaran pembunuhannya serta tidak bersetuju dengan penggunaan kaum wanita sebagai pengebom bunuh diri.

Ini bukan kali pertama Abubakar didakwa meninggal dunia kerana dia pernah muncul dalam satu rakaman video pada tahun 2016 dan menafikan kematiannya sendiri selepas tentera Nigeria menyatakan ketua Boko Haram tersebut cedera parah dalam satu serangan udara.

Pada 20 Mei lalu, portal The Defence Post melaporkan Abubakar cedera parah selepas cuba untuk membunuh dirinya bagi mengelak ditangkap ketika pertempuran berlaku antara Boko Haram dengan kumpulan sekutu Daesh di utara negara tersebut.

Satu sumber perisikan berkata, selepas satu siri pertempuran, ketua Boko Haram dan para pengikutnya dikepung oleh anggota-anggota ISWAP di hutan Sambisa yang menuntut dia menyerah diri.

Sumber tersebut menjelaskan bagi mengelak ditangkap, dia menembak dirinya sendiri di bahagian dada dan cedera parah tetapi sebahagian pengikutnya berjaya melarikan diri bersamanya ke sebuah lokasi yang tidak diketahui.

Satu lagi sumber perisikan menyatakan Abubakar cedera parah selepas dia meletupakan bahan letupan di dalam rumah yang menjadi tempat persembunyian bersama para pengikutnya.

Justeru, kecederaan parah atau kematian ketua Boko Haram itu memberi tamparan hebat kepada kumpulan berkenaan yang kini semakin lemah berikutan serangan udara tentera Nigeria di kubu-kubunya dan pengkhianatan yang dilakukan oleh para pengikutnya.

Shekau yang berumur dalam lingkungan 40an menjadi ketua Boko Haram selepas pengasasnya, Muhammad Yusuf dibunuh oleh polis pada tahun 2009.

Di bawah pemerintahannya, Boko Haram mula melakukan serangan bom, menculik dan menyerang penjara-penjara dan dari tahun 2014 ia mula menguasai beberapa pekan serta berusaha melaksanakan undang-undang Syariah.

Kumpulan itu didakwa telah membunuh lebih 40,000 orang dan menyebabkan kira-kira dua juta penduduk di timur laut Nigeria hilang tempat tinggal.

Sejak berpecah dari Boko Haram pada tahun 2016, ISWAP telah menggantikan Boko Haram sebagai kumpulan yang memperjuangkan tafsiran agama Islam yang ekstrem dan anti-Barat serta menyerang pihak yang tidak bersetuju dengan tafsiran agamanya.

Beberapa pihak menjangkakan jika Abubakar benar-benar meninggal dunia, ia akan menamatkan permusuhan antara Boko Haram dengan ISWAP sekali gus menyebabkan anggota-anggota Boko Haram diserap masuk ke dalam ISWAP.

Bagaimanapun, terdapat juga pandangan bahawa anggota-anggota Boko Haram akan terus berpegang kepada idea-idea Abubakar. - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!