Mengenang pekerjaan pertama

Budiman masih teringat kenangan menjadi mat despatch saat menunggang motosikal.
Budiman masih teringat kenangan menjadi mat despatch saat menunggang motosikal.
A
A
A

IMPIAN kebanyakan orang selepas meninggalkan alam persekolahan – tidak kira di peringkat mana - tentulah mencari kerja.

Masing-masing tidak sabar untuk merasa hasil titik peluh sendiri. Apa yang hendak dibuat dengan hasil titik peluh itu terpulang pada keutamaan masing-masing.

Ada yang hendak bantu keluarga, ada yang hendak kumpul untuk beli kereta motor idamannya, ada yang hendak menjadikannya modal asas untuk membina rumah tangga dan pelbagai lagi.

“Aku kalau dah bekerja nanti, gaji pertama tu aku nak beli coklat, ais krim dan kuaci banyak-banyak. Aku nak makan puas-puas,” itu impian seorang kawan saya, yang datang dari sebuah keluarga sembilan adik-beradik.

Dia memang susah hendak makan apa pun tanpa berebut dengan abang, kakak dan adik-adiknya.

Impian saya sendiri pula untuk kumpul duit bagi kegunaan semasa sambung belajar, sekiranya berpeluang.

Selain itu terselit juga beberapa impian lain seperti hendak beli motosikal baharu, topi keledar baharu, radio, jaket, kamera dan banyak lagi.

Berbekalkan impian itulah saya berhijrah ke Kuala Lumpur. Sehingga dekad 1990-an, Kuala Lumpur menjadi magnet besar yang menarik anak kampung seperti saya untuk mencuba nasib.

Artikel Berkaitan:

Boleh dikatakan dari setiap kampung di Semenanjung ini akan ada sekurang-kurangnya seorang anak muda akan ke bandar besar mencari punca rezeki.

Saya bermula dengan berkongsi menyewa sebuah rumah setinggan di Pantai Dalam.

Ketika itu kawasan tersebut merupakan salah sebuah daripada sekian banyak penempatan setinggan yang terdapat di Kuala Lumpur.Pekerjaan pertama saya adalah sebagai mat despatch.

Ketika itu belum ada penghantar makanan macam sekarang, jadi mat despatch selalunya dianggap raja jalan raya. Bab pecut, bab ciluk, bab langgar lampu merah, susah orang lain hendak lawan.

Bagi kebanyakan orang wujud tanggapan bahawa mat despatch merupakan kakitangan rendah yang paling sibuk dalam sesebuah pejabat.

Maklumlah kebanyakan masa berada di luar pejabat. Bukan senang menghantar surat, dokumen dan sebagainya di bandar besar seperti Kuala Lumpur.

Kuala Lumpur bukan Sungai Panjang, di mana sambil pejam mata sahaja saya boleh tuju dengan tepat ke sebarang alamat yang diarahkan.

Di Kuala Lumpur, ada ketikanya jenuh melilau pun masih tak jumpa-jumpa. Perlu diingat waktu itu bukannya ada telefon pintar, apatah lagi Google Maps.

Mat despatch juga terpaksa berpanas berhujan. Jarang ada kesempatan untuk lepak dan sembang-sembang macam rakan-rakan sepejabat yang lain.

Waktu keluar segar, bila balik semula ke pejabat, lembik macam kain buruk. Memang kesian.

Tetapi betulkah begitu? Memang teruk sangatkah kerja itu?

Kalau ditanya saya, jawapannya, tidak teruk langsung. Kenapa saya kata begitu? Mari saya dedahkan rahsianya.

Waktu operasi pejabat tempat saya bekerja adalah dari jam 8 pagi hingga 5 petang. Tugas sebagai seorang despatch mudah sahaja.

Sebaik sampai di pejabat, ambil surat-surat atau apa pun yang perlu dihantar dan buku yang perlu dicop bagi mengesahkan penerimaan.

Konon-konon buku itu untuk mengelak daripada mat despatch mengelat. Bila ada buku, ada cop, maknanya benda yang dihantar itu sampai kepada yang berkenaan.

Selesai mengambil apa yang perlu saya akan tinggalkan pejabat. Kalau lapar singgah bersarapan dulu.

Kalau rajin buat serahan dulu ke satu dua alamat yang berdekatan.

Jam 10 pagi saya dan ramai lagi mat despatch akan berkumpul di belakang bangunan Sime Darby di Jalan Sultan Ismail. Di situlah port kami.

Saya yang ambil inisiatif kumpulkan sebanyak mungkin geng despatch di port itu. Saya juga perkenalkan sistem open coupon.

Kami bahagikan tugas mengikut zon. Katakanlah zon itu adalah A, B, C, D, E dan seterusnya.

Semua surat, dokumen dan sebagainya yang perlu diserahkan di zon A akan diberikan kepada orang yang ditugaskan zon itu.

Yang zon B pula akan diserahkan kepada yang bertugas di zon B. Demikian jugalah dengan zon-zon lain.

Dengan cara itu kami memudahkan masa dan menjimatkan kerja. Tidak perlulah terkejar-kejar ke sana ke mari.

Masa yang dijimatkan itu boleh digunakan untuk tidur atau bermain snooker. Hendak ber’dating’ pun boleh.

Jam 4 petang kami akan berkumpul semula di port, ambil buku yang telah dicop dan kira-kira setengah jam kemudian akan tiba di pejabat dengan keadaan termengah-mengah dan terjelir-jelir macamlah teruk sangat bekerja.

Gaji tidaklah besar. Tak adalah macam gaji CEO GLC yang kata orang lebih besar daripada gaji menteri.

Saya masih ingat gaji pokok saya RM370, elaun minyak RM100 dan dengan kerja lebih masa bolehlah dapat seratus dua ratus ringgit lagi.

Sudah cukup melayakkan saya menjadi jutawan kalau saya berada di Indonesia, Iran dan Venezuela.

Tentang gaji ini, saya mempunyai cara berfikir yang berbeza. Bagi saya nilai gaji tidak terletak semata-mata pada jumlahnya, tetapi pada bagaimana ia dibelanjakan.

Gaji kecil pun kalau dibelanjakan dengan betul, hujung bulan nanti bakinya tetap banyak. Begitu jugalah sebaliknya.

Ada kawan saya, gaji lima enam ribu, tetapi pertengahan bulan sudah mula pinjam dari merata penjuru sehinggakan kita hendak melintas di depannya pun seram sejuk.

Dengan pendapatan sebanyak itulah saya berjuang untuk hidup di Kuala Lumpur. Cukup untuk kehidupan yang sederhana.

Setakat hendak makan mi segera seminggu lima kali, memang tiada masalah. Rutin saya ialah teh tarik, karipap dan nasi lemak bungkus di Pantai Dalam.

Tetapi seperti yang saya sebutkan di atas, Kuala Lumpur juga kota yang kejam. Saya pernah menjadi mangsa kekejamannya.

Sebagai budak kampung yang lurus bendul saya menyangka orang Kuala Lumpur semuanya baik-baik macam orang Sungai Besar.

Maka sekali peristiwa saya pernah menyerahkan RM300 kepada seorang pemuda yang memberitahu dia ada radio yang hendak dijual. Di mana lagi kalau bukan di Kompleks Kotaraya.

Selepas menerima wang daripada saya, dia berlalu pergi, katanya hendak mengambil radio itu. Tetapi itulah kali terakhir saya melihatnya.

Saya yakin, jika saya terus menunggu di situ sehingga tahun 2021 ini pun dia tetap tidak akan muncul.

Saya hilang RM300, tetapi saya mendapat ilmu daripada peristiwa itu.

Ia tidak hanya mengingatkan saya supaya lebih berhati-hati tetapi juga mengajar saya erti perit dan pedih apabila menjadi mangsa pada janji yang dimungkiri.

Sebab itu pesan saya kepada rakan-rakan di gelanggang politik, kurangkanlah berjanji kerana jika tersilap langkah ia akan menjadikan kita tidak berbeza daripada ‘mat pet’ yang melarikan duit RM300 saya itu. #dush!

* Datuk Dr Budiman Mohd Zohdi ialah ahli politik dan penulis buku yang gemar bernostalgia

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!