Yakinkan 1.4 juta warga emas untuk divaksin

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

STIGMA warga emas terhadap vaksin yang berpunca daripada momokan palsu mengenainya adalah antara sebab masih ramai golongan itu belum mendaftar untuk Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan ataupun tidak hadir selepas mendapat janji temu.

Segelintir daripada mereka takut mati selepas disuntik, manakala yang lain percaya ada cara lain untuk menghapuskan virus Covid-19 tanpa menggunakan vaksin.

Dakwaan lain ialah vaksin tersebut mengandungi asid deoksiribonukleik (DNA) khinzir, merupakan manipulasi genetik yang perlu dihapuskan dan pelbagai alasan tidak munasabah lain.

Lebih memeranjatkan, apabila mereka menggunakan cara yang tidak masuk akal seperti menghidu wap bunga cengkih dan baru-baru ini tersebarnya video di mana mereka mencampurkan minuman bersama ‘Clorox’ untuk mematikan atau membendung penularan Covid-19.

Isu ini amat membimbangkan apabila mereka sanggup menggunakan cara yang boleh membahayakan nyawa dan kesihatan.

Dikhabarkan isu ini bermula apabila mereka mendapat maklumat yang tidak benar daripada media sosial atau cerita dari mulut ke mulut.

Selain terpengaruh dengan berita palsu yang disebarkan oleh rakan sebaya, golongan warga emas ini juga mungkin mempunyai kekangan lain yang menyebabkan mereka tidak mendaftar atau menolak pengambilan vaksin.

Pertama, kurang kesedaran daripada keluarga yang seharusnya memainkan peranan untuk mendaftarkan ibu bapa atau saudara mereka selain mengawasi mereka daripada terpengaruh dengan berita palsu.

Artikel Berkaitan:

Kedua, golongan tersebut berkemungkinan mempunyai masalah kesihatan atau pengangkutan. Akibatnya mereka sukar untuk pergi ke pusat pemberian vaksin.

Turun padang

Disebabkan faktor kekangan tersebut, Ketua Bersatu Bahagian Segambut, Mahathir Mohd Rais menjelaskan kaedah turun padang dan mendekati golongan warga emas dilihat lebih sesuai dilaksanakan dan secara langsung akan mempercepat proses vaksinasi kepada golongan ini.

Kerajaan sebelum ini telah menawarkan tempahan vaksin AstraZeneca 2.0 untuk golongan yang berusia 60 tahun ke atas pada 23 Mei lalu bagi negeri Selangor, Johor, Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan Sarawak.

Namun apa yang menyedihkan, masih ada golongan warga emas yang menolak janji temu vaksin apabila sudah diberikan slot.

Perkara ini amat dikesali dan dianggap ‘melepas tuah’ kerana pada masa yang sama ramai rakyat Malaysia lain yang berebut-rebut untuk mendaftar vaksin tetapi tidak berpeluang.

Insiden ini mengundang kebimbangan kerana faktor usia mereka yang rentan terhadap jangkitan.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun baru-baru ini memaklumkan 60 peratus daripada 3.5 juta warga emas berumur 60 tahun ke atas telah membuat pendaftaran mendapatkan suntikan vaksin melalui aplikasi MySejahtera.

Daripada jumlah itu, seramai 229,462 orang sudah lengkap dua dos suntikan vaksin.

Walaupun bilangan yang mahu menerima vaksin lebih ramai, namun masih terdapat 40 peratus atau kira-kira 1.4 juta warga emas yang belum mendaftar vaksin.

Kebanyakan pakar kesihatan mengesahkan vaksin Covid-19 kini adalah vaksin yang terbaik, walaupun tidak menafikan ia mempunyai kesan sampingan sama seperti ubat-ubatan lain.

Namun, dengan kes baharu yang tinggi, kes kematian yang saban hari meningkat dan sistem kesihatan yang semakin lumpuh, tidak wajar sekiranya kita memikirkan kesan sampingan vaksin daripada kesan pandemik yang kritikal ini.

Program imunisasi adalah satu-satunya tindakan kesihatan awam yang dilihat paling berkesan bagi menangani kerenah dan sikap masyarakat terhadap prosedur operasi standard (SOP).

Justeru masyarakat tidak perlu terlalu memilih atau berfikir dua kali, sebaliknya terus mendaftar untuk mendapatkan vaksin secepat mungkin.

Bersama kita melawan dan mencegah penularan Covid-19 untuk mencapai imunisasi berkelompok demi keselamatan negara.

* Nurul Nabila Ahmad Halimy ialah Wartawan Sinar Harian

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!