Sindiket penyeludupan tembakau kunyah tumpas

Kastam merampas tembakau kunyah seberat 3,371.86kg dalam dua serbuan premis di Ipoh, Perak pada Ahad.
Kastam merampas tembakau kunyah seberat 3,371.86kg dalam dua serbuan premis di Ipoh, Perak pada Ahad.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (Kastam) menumpaskan sindiket penyeludupan tembakau kunyah (chewing tobacco) dengan rampasan bernilai lebih RM380,000 termasuk cukai dalam dua serbuan di Ipoh, Perak pada Ahad.

Pengarah Operasi Penguatkuasaan Kastam Zon Tengah, Rameli Ahmad berkata, nilai itu membabitkan rampasan seberat 3,371.86 kilogram (kg).

"Serbuan pertama yang dilakukan Bahagian Penguatkuasaan Kastam Zon Tengah, Unit II (Selangor) di sebuah premis kira-kira jam 8.30 pagi dan berjaya merampas 2052.16 kg 'chewing tobacco' bernilai RM231,381.04 termasuk cukai.

"Seorang pekerja warga Bangladesh telah ditahan dalam serbuan ini," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Susulan itu, sebuah lagi premis tidak berpenghuni turut diserbu dan sebanyak 1319.70kg 'chewing tobacco' bernilai RM148,802.94 termasuk cukai telah dirampas.

Kata Rameli, serbuan kedua ini menemui beberapa mesin memproses dan membungkus 'chewing tobacco'.

"Kita percaya kesemua 'chewing tobacco' bernilai RM380,183.98 ini adalah untuk pasaran tempatan. Siasatan sedang dijalankan dan kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967," katanya.

Tegasnya, orang ramai digesa membantu pihak Kastam memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan lain-lain serta diingatkan tidak membabitkan diri dengan aktiviti tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Kita juga menyeru kepada orang awam untuk memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau Pejabat Kastam yang terdekat di semua negeri. Kastam juga memberi jaminan bahawa identiti setiap pemberi maklumat adalah dirahsiakan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!