Kerajaan digesa kaji kenaikan minyak masak botol

Kerajaan digesa mengkaji kenaikan harga minyak masak dalam botol kerana ia membebankan orang ramai. - Gambar hiasan
Kerajaan digesa mengkaji kenaikan harga minyak masak dalam botol kerana ia membebankan orang ramai. - Gambar hiasan
A
A
A

KUANTAN - Kerajaan digesa mengkaji kenaikan harga minyak masak dalam botol kerana ia membebankan orang ramai.

Pengerusi Biro Perpaduan, Integrasi Nasional dan Kepenggunaan Majlis Belia Negeri Pahang (MBNP), S Prathap berkata, kenaikan tersebut tidak sesuai untuk dilaksanakan di saat ramai rakyat hilang pendapatan dan tidak dapat bekerja susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Walaupun harga jualan minyak masak botol lima kilogram (kg) tidak dikawal oleh pihak kerajaan namun peniaga masih tertakluk di bawah perundangan Akta Kawalan Harga & Anti Pencatutan 2011.

"Jadi, MBNP memandang serius terhadap kenaikan mendadak ini kerana di saat kerajaan mengarahkan rakyat duduk di rumah, mereka dibebankan dengan kenaikan bahan utama untuk menyediakan makanan," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Beliau meminta kerajaan menyelami denyut nadi dan memikirkan kebajikan rakyat memandangkan minyak masak adalah antara keperluan yang penting dalam kehidupan masyarakat Malaysia tidak mengira bangsa dan agama.

Katanya, pihak MBNP mencadangkan kepada kerajaan agar merasionalkan kenaikan harga dan memasukkan minyak masak botol dalam senarai harga kawalan.

Sehubungan itu, Prathap menyeru kerajaan supaya memperluaskan lagi bekalan minyak masak paket 1 kg bersubsidi di pasaran.

Jelasnya, ini bagi membendung harga makanan di restoran dan warung yang dijangka naik.

Artikel Berkaitan:

"Semoga kerajaan sentiasa membuka mata dan menajamkan telinga untuk mendengar keluhan rakyat," ujarnya.

Pada Selasa, Sinar Harian melaporkan kenaikan harga minyak masak dalam botol sekitar RM4 hingga RM7, susulan rungutan daripada pengguna.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!