Keuntungan pelaburan wakaf tunai dijamin patuh syariah

Barisan panelis yang terlibat dalam Wacana Sinar Harian edisi ke- 263 bertajuk Wakaf: Kejutkan 'The Sleeping Giant' yang disiarkan secara maya di semua platform digital Sinar Harian pada malam Selasa.
Barisan panelis yang terlibat dalam Wacana Sinar Harian edisi ke- 263 bertajuk Wakaf: Kejutkan 'The Sleeping Giant' yang disiarkan secara maya di semua platform digital Sinar Harian pada malam Selasa.
A
A
A

SHAH ALAM - Yayasan Wakaf Malaysia memberi jaminan bahawa setiap keuntungan dijana melalui pelaburan wakaf tunai yang diterima daripada masyarakat adalah patuh syariah.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Profesor Madya Dr Amir Shaharuddin berkata, ia kerana setiap pelaburan akan dipantau ketat oleh jawatankuasa yang dibentuk.

"Pemberi wakaf tidak perlu risau sekiranya memberi wakaf kepada institusi yang sah kerana kami ada jawatankuasa syariah.

"Jawatankuasa ini akan melihat pelaburan itu dari awal supaya kita jaga bahawa dividen atau segala keuntungan yang dijana daripada pelaburan itu patuh syariah.

"Jadi, tidak timbul isu sama ada keuntungan atau dividen yang diperoleh menerusi pelaburan yang dibuat itu patuhi syarak atau tidak," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu Wacana Sinar Harian edisi ke- 263 bertajuk Wakaf: Kejutkan 'The Sleeping Giant' yang disiarkan secara maya di semua platform digital Sinar Harian pada malam Selasa.

Amir Shaharuddin
Amir Shaharuddin

Wacana itu turut menampilkan dua panelis lain iaitu Pengerusi Jawatankuasa Kerja MyWakaf AIBIM Bank Islam, Mohd Nazri Chik dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Wakaf Selangor, Anuar Hamzah Tohar, manakala Ismail Adnan bertindak sebagai moderator.

Artikel Berkaitan:

Amir berkata, sekiranya wujud keraguan terhadap pelaburan wakaf tunai yang dibuat, pihaknya mempunyai mekanisme untuk bersihkan dividen tersebut supaya ia patuh syariah.

Sementara itu, dalam perkembangan sama, Amir turut memberitahu bahawa tahap kefahaman masyarakat di negara ini tentang wakaf masih lagi rendah.

Katanya, ia kerana ramai yang masih keliru dalam membezakan antara wakaf dan sedekah.

"Prinsip utama dalam wakaf ini adalah ia menjanjikan benda yang berkekalan, di mana aset yang diwakafkan itu perlu dijaga supaya ia dapat menjana pahala yang berterusan.

"Sekarang ini kita lihat banyak masjid membuat kutipan wakaf untuk membeli makanan kepada rakyat yang terkesan dengan Covid-19, itu adalah sedekah kerana apa yang kita guna untuk habis pakai (beli makanan) tidak sesuai dijadikan sebagai harta wakaf," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!