Syabu, pil kuda RM8.67 juta dirampas dalam rumah kosong

Kasuahdi (depan) menunjukkan dadah yang berjaya dirampas di sebuah rumah kosong tidak bernombor di Kampung Jeram Perdah, Rantau Panjang, pada Isnin.
Kasuahdi (depan) menunjukkan dadah yang berjaya dirampas di sebuah rumah kosong tidak bernombor di Kampung Jeram Perdah, Rantau Panjang, pada Isnin.
A
A
A

PASIR MAS - Polis Diraja Malaysia (PDRM) merampas 41 kilogram (kg) dadah jenis syabu dan 720,000 biji pil kuda bernilai RM8.67 juta selepas menahan seorang lelaki di sebuah rumah kosong tidak bernombor di Kampung Jeram Perdah, Rantau Panjang, pada Isnin.

Rampasan dadah pada jam 4.30 petang itu dilakukan oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 8 Pengkalan Chepa selepas melakukan intipan selama empat jam di lokasi sebelum melakukan serbuan.

Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKNKA), Datuk Kasuahdi Ali berkata, hasil pemeriksaan ke atas rumah berkenaan sambil disaksikan oleh suspek yang berusia 43 tahun itu telah membawa kepada penemuan 41 bungkusan plastik teh.

"Pemeriksaan ke atas bungkusan plastik teh itu telah menemui ketulan syabu yang masing-masing seberat satu kilogram setiap satu," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas di sini, pada Rabu.

Hadir sama Komander PGA Briged Tenggara, Hassan Basri Ahmad Safar, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kelantan, Asisten Komisioner Sheik Azhar Sheik Omar dan Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd Nasruddin M Nasir.

Menurutnya, PGA telah menjumpai 120 bungkusan plastik yang dibalut menggunakan pita mengandungi 720,000 biji pil kuda.

Siasatan awal mendapati, dadah jenis pil kuda yang dibawa masuk dari Thailand itu menggunakan laluan-laluan tidak diwartakan adalah untuk pasaran Kelantan, Terengganu dan Pahang.

Menurut Kasuahdi, sementara syabu pula untuk pasaran Selangor, Kuala Lumpur dan Johor.

Artikel Berkaitan:

Katanya, hasil semakan mendapati, suspek mempunyai dua rekod jenayah lampau berkait dengan dadah.

"Siasatan lanjut ke atas suspek sedang giat dijalankan untuk mengenal pasti sama ada dia mengambil upah, pengedar atau tauke kepada bahan terlarang itu.

"Saringan ujian air kencing mendapati suspek negatif dan kini ditahan reman selama tujuh hari bermula semalam untuk membantu siasatan,"katanya.

Polis juga kata beliau, sedang mengesan pemilik rumah tersebut untuk mengetahui sama ada mereka mempunyai hubungan atau sebaliknya.

Kes disiasat bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!