Masjid perlu didik ilmu kepenggunaan

A
A
A

KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah menggerakkan sebuah program baharu iaitu Gerakan Kepenggunaan Masjid (Gema) mula tahun 2019. Ini suatu inisiatif yang belum pernah dilakukan iaitu membumikan gerakan pengguna di peringkat kariah.

Sememangnya fungsi masjid adalah membentuk masyarakat Islam terutama untuk menghayati hidup bersyariat. Masjid diselia Majlis Agama Islam Negeri. Sering publik melihat masjid sebagai institusi Islam yang menumpu kepada aktiviti khusus agama iaitu perlaksanaan solat, khutbah, kuliah agama, sambutan hari kebesaran Islam, urusan nikah kahwin dan urusan jenazah.

Masih sangat kecil bilangan masjid yang merentas keluar dari kelaziman biasa untuk meningkatkan status masjid secara lebih relevan dalam kehidupan yang sangat luas skopnya.

Yang jelas jika kedinamikan aktiviti masjid dapat diserlahkan, masjid pasti akan berimej institusi yang sangat aktif dan relevan dalam banyak urusan masyarakat. Isu ekonomi, sosial, alam sekitar, kepenggunaan, pengurusan sumber dan keperluan asas.

Tujuan Gema adalah untuk membentuk masyarakat yang memahami hidup kepenggunaan yang bermaklumat, berhemat dan mampu membentuk komuniti pengguna yang produktif. Dalam sebuah komuniti kariah interaksi antara pengguna dan peniaga adalah saling bergantung.

Sementara peniaga menghasilkan dan menjual produk dan khidmat, pengguna membeli dan mengguna apa yang diperlukan. Hubungan tidak eksploitatif dan tidak meraih keuntungan berlebihan serta berniaga dengan beretika diperlukan. Manakala pengguna yang celik hak dan mengutamakan keperluan lebih dari kehendak juga penting.

Isu kos sara hidup kini menjadi paling utama. Keprihatinan KPDNHEP sebagai urusetia kepada jawatan kuasa Kabinet mengenal kos sara hidup kini mencari mekanisme yang berkesan untuk menyantun isu ini terutama dalam kalangan kelompok B40. Malah perbahasan ini berlanjutan kepada kelompok M40.

Memang menangani isu golongan berpendapatan rendah dengan kenaikan harga barangan dan perkhidmatan sangat mencabar. Isu harga makanan, perumahan, pendidikan, kesihatan, pengangkutan dan utiliti, kini menjadi fokus utama.

Artikel Berkaitan:

Sesungguhnya amat mendesak agar kos sektor-sektor tersebut dapat ditangani bukan sahaja dalam konteks pasaran yang bergantung kepada permintaan dan bekalan. Akan tetapi ia juga harus dilihat bagaimana komuniti pengguna harus berciri produktif untuk menampung keperluan kehidupan harian. Keupayaan meningkatkan pendapatan juga terangkum dalam menangani isu kos sara hidup.

Di samping itu sangat diperlukan pengguna memahami bagaimana komuniti pengguna perlu meneliti gaya hidup secara kritikal. Bahawa membeli secara tidak diskriminatif, berlebihan dan bermewahan perlu dihentikan. Pembaziran dalam pelbagai gaya hidup pengguna menyumbang kepada kenaikan kos sara hidup.

Sebagai sebuah institusi terpenting dalam masyarakat Islam, masjid sudah tentu menjadi tapak yang sangat tepat mendidik masyarakat mengenai isu kepenggunaan terutama menyemai nilai dan akhlak dalam kepenggunaan mengikut ajaran Islam. Bahawa Islam tidak membenarkan penipuan harga dan timbangan, menekankan soal kesucian makanan yang halal dan toyyiban, melarang pembaziran, menekankan soal penggunaan sumber alam yang tidak merosakkan keseimbangan, menjaga hak para miskin dan dhuafa.

Semua pedoman ini berkesan jika disalurkan melalui masjid. Jika seluruh 6,400 masjid di negara ini dapat berperanan membentuk pemikiran masyarakat mengenai gaya hidup kepenggunaan yang sihat, sudah pasti isu-isu yang berlaku sekarang dapat ditangani dengan berkesan.

Apa yang perlu adalah minat, pengetahuan, dan kesediaan anak kariah bergabung dengan kepimpinan masjid untuk mendidik dan menyantuni komuniti pengguna melalui masjid.

Pendekatan Gema adalah melibatkan seluruh anak kariah secara inklusif. Sememangnya masyarakat memerlukan pemikiran dan kesedaran kritikal untuk berdepan dengan pelbagai isu kepenggunaan. Masyarakat yang terdedah kepada penipuan, manipulasi, kenaikan kos dan harga barangan perlu, perkhidmatan yang tidak mencukupi dan tidak berkualiti serta keselamatan alam sekitar yang menjejaskan komuniti, sangat perlu didedahkan dengan maklumat yang tepat.

Sudah sampai masanya pengetahuan lokal dan kuasa pengguna dimanfaatkan semaksimum mungkin untuk merungkai masalah rakyat di peringkat kariah. Sehingga sekarang isu pengguna sudah cukup rencam. Masyarakat berdepan kecanggihan bagaimana mereka terdedah kepada penipuan dan salah laku dalam pasaran. Masjid boleh berperanan mendidik pengguna yang celik hak dan sedar tanggungjawab.

* Penulis ialah Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia dan Presiden Teras Pengupayaan Melayu

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!