CEO Aerodyne bersaing untuk Anugerah Usahawan Dunia EY 2021
PENGASAS dan Ketua Pegawai Eksekutif Aerodyne Group, Kamarul A Mohamed telah dicalonkan sebagai salah seorang daripada 38 finalis dalam saingan untuk memenangi Anugerah Usahawan Dunia Ernst & Young (EY) (WEOY), Kelas 2021.
Kamarul, 53, adalah satu-satunya wakil Malaysia dalam program anugerah perniagaan paling berprestij untuk usahawan, yang menganugerahkan pemimpin berwawasan yang berjaya mengetengahkan inovasi, pertumbuhan dan kemakmuran untuk mengubah dunia.
"Saya amat terharu dan rasa terhormat kerana telah dianugerahkan dengan gelaran Usahawan Tahunan Terbaik 2020 EY serta kategori Usahawan Teknologi pada bulan Mac.
"Hari ini, saya mewakili Malaysia untuk Anugerah Usahawan Dunia 2021 EY, bersaing dengan beberapa juara dunia yang sangat hebat," katanya kepada Bernama.
Kamarul berkata, walaupun perlu bersaing, beliau tetap bangga membawa Malaysia ke pentas dunia.
Beliau sebelum ini telah dinobatkan sebagai Usahawan Tahunan Terbaik EY Malaysia 2020 dan Usahawan Teknologi Tahunan Terbaik EY Malaysia 2020 dari kalangan 15 calon teratas yang merebut gelaran itu.
Kamarul menubuhkan Aerodyne pada tahun 2014 dan telah mengembangkan syarikat itu menjadi penyedia penyelesaian perusahaan berasaskan dron terkemuka di dunia dan perintis dalam penggunaan kecerdasan buatan sebagai teknologi yang memungkinkan untuk operasi data, analisis dan pengoptimuman proses berskala besar.
Sejak penubuhannya, Aerodyne telah berpusat pada kecerdasan data, penyelesaian bersepadu dan Teknologi Dron, Teknologi Data dan Transformasi Digital (DT3) untuk menampung pasaran yang pesat berkembang serta telah ditempatkan pada kedudukan kedua di dunia oleh Drone Industry Insights of Germany.
Sehingga kini, Aerodyne menggajikan 450 dron profesional untuk beroperasi pada tahap yang belum pernah terjadi sebelumnya dalam sektor perkhidmatan sistem pesawat tanpa pemandu (UAS) dengan menguruskan lebih daripada 320,000 aset infrastruktur serta 110,000 operasi penerbangan dan meninjau lebih daripada 120,000km infrastruktur tenaga di 35 negara.
Sementara itu, pelabur Aerodyne, Pengarah Urusan VentureTECH, Dr Norida Abd Rahman mendedahkan bahawa Kamarul adalah seorang yang sangat memberi inspirasi dan boleh menjadi contoh yang baik bagi usahawan tempatan negara.
"Sebagai antara pelabur Aerodyne, VentureTECH bersama rakyat Malaysia yang lain merasa bangga dengan Kamarul yang mewakili negara untuk bersaing dengan 37 finalis di seluruh dunia yang dicalonkan oleh EY," katanya dalam emel kepada Bernama.
Dalam pada itu, program anugerah global Usahawan Tahunan Terbaik EY telah meraikan usahawan melalui program anugerah serantau dan nasional di lebih 145 bandar di lebih 60 negara, sebelum bertanding untuk WEOY.
Anugerah ini akan diumumkan di acara WEOY tahunan pada Jumaat 11 Jun ini. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!