Tambah insentif untuk barisan hadapan
JOHOR BAHRU - Pemuda UMNO Johor mengharapkan kerajaan negeri dapat menambah insentif dan sumbangan buat tenaga kerja barisan hadapan yang berkhidmat di negeri ini dalam Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) Ihsan Johor 3.0 yang akan diumumkan nanti.
Ketua Pemudanya, Mohd Hairi Mad Shah berkata, ia termasuklah barisan hadapan yang bertugas di sekatan jalan raya, hospital Covid-19 dan mereka yang bertugas di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC).
Jelas beliau, saranan itu dibuat hasil tinjauan dan pungutan suara daripada kelompok anak muda serta belia di negeri ini tentang pandangan, hasrat dan idea yang difikirkan perlu serta boleh diangkat atau dipertimbangkan kerajaan negeri untuk dijadikan sebagai satu titik sentuh dalam PRE Ihsan Johor 3.0 nanti.
"Selain itu, bagi inisiatif ekonomi, kita harapkan agar kerajaan negeri dapat memberikan bantuan 'one-off' kepada kumpulan terkesan dan mereka yang diberhentikan kerja ketika pelaksanaan PKP 3.0 ini.
"Malah kita juga harapkan bantuan data bernilai RM50 bagi anak-anak dari golongan B40 menjalankan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) berdasarkan maklumat E-Kasih.
"Bantuan diskaun 50 peratus oleh pihak berkuasa tempatan bagi lesen Premis Perniagaan 2021/2022 serta permansuhan bayaran lesen bagi seluruh lesen penjaja termasuk pasar malam, pasar pagi, penjaja bergerak dan statik juga perlu diteruskan," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Mohd Hairi turut mencadangkan agar cukai harta dan pintu oleh pihak berkuasa tempatan bagi penggal 1 (Setengah Tahun) bagi harta nilaian dibawah RM150,000 dapat dimansuhkan.
"Pada masa yang sama, meningkatkan kebolehupayaan pasaran kerja pasca pandemik dengan memperbanyakkan program 're-skilling' dan 'up-skilling' bakat atau kemampuan setiap rakyat di negeri Johor demi kelangsungan hidup mereka.
"Selain PdPR, ramai juga mahasiswa dan mahasiswi Johor dari kelompok B40 terpaksa berdepan masalah pembelajaran atas talian, diharapkan kerajaan negeri dapat mencadangkan kepada syarikat berkaitan kerajaan negeri untuk melaksanakan tanggungjawab sosial korporat membekalkan tablet atau laptop kepada kelompok ini di negeri Johor selain mempertingkatkan keupayaan Wi-fi di seluruh pelusuk negeri ini," ujarnya.
Beliau juga mengharapkan kerajaan negeri dapat melaksanakan intervensi kesihatan yang merangkumi saringan Covid-19 secara besar-besaran, bukan bersasar tetapi dengan misi semua rakyat di negeri ini setidak-tidaknya dapat membuat saringan Covid-19 secara percuma.
Bagi mempercepatkan proses vaksinasi di negeri ini, Mohd Hairi berkata, Pemuda UMNO Johor bersedia menggerakkan jentera sebagai sukarelawan membantu usaha mempercepatkan misi Bangsa Johor mencapai imuniti kelompok.
"Pusat Pemberian Vaksin (PPV) dalam negeri Johor juga perlu diperluas dan diperbanyakkan untuk memudahkan akses orang ramai terutama di kawasan kampung dan luar bandar mendapatkan bekalan vaksin.
"Pada masa sama, memberi peranan kepada pembantu perubatan dan kakitangan jururawat yang boleh kembali berkhidmat sebagai sukarelawan. Ini juga termasuk mewujudkan PPV bergerak dan pandu lalu," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!