RM17. 5 juta data internet kepada B40 di Selangor

Info grafik mengenai Program Data Internet Selangor dan SISM40 yang diumumkan Amirudin pada Pakej Kita Selangor 2.0 secara langsung di Facebook beliau pada Rabu.
Info grafik mengenai Program Data Internet Selangor dan SISM40 yang diumumkan Amirudin pada Pakej Kita Selangor 2.0 secara langsung di Facebook beliau pada Rabu.
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor melancarkan Program Data Internet Selangor melibatkan penawaran bersubsidi kad sim dengan kemudahan data internet tanpa had kepada golongan sasaran terutama B40 dalam masa terdekat.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, program membabitkan peruntukan sebanyak RM17.5 juta itu menawarkan produk kad sim data internet tanpa had dengan kadar istimewa iaitu RM35 sebulan.

Bagaimanapun, katanya, penerima program itu hanya membayar RM15 dan selebihnya RM20 akan dibayar oleh Perbadanan Menteri Besar (MBI).

"MBI akan memberi subsidi RM20 sebulan untuk tempoh 12 bulan," katanya ketika mengumumkan Pakej Kita Selangor 2.0 secara langsung di Facebook beliau di sini pada Rabu.

Amirudin menjelaskan, seramai 70,000 individu disasarkan termasuk dalam kalangan penjaja kecil, pelajar, ibu tunggal, pemandu teksi, warga emas dan pekerja ekonomi.

"Kerajaan Selangor menyedari bahawa akses kepada internet adalah nadi kelangsungan perniagaan dan pembelajaran," katanya.

Dalam pada itu, Amirudin berkata, kerajaan negeri turut menawarkan Skim Internet Selangor (SISM40) khusus bagi golongan M40.

Beliau memaklumkan, inisiatif yang pertama kali dilaksanakan dengan kerjasama syarikat swasta negara iaitu Telekom Malaysia (TM) memperuntukkan subsidi internet khusus kepada rakyat negeri ini.

Artikel Berkaitan:

"Terdapat lapan pakej diperkenalkan melalui Pakej Keluarga, Pakej Bujang dan Pakej Asas.

"Melalui langganan pakej tersebut, setiap isi rumah akan berpeluang menikmati subsidi di antara RM10 hingga RM30 sebulan bagi tempoh setahun," jelasnya.

Kata beliau, SISM40 dibuka kepada rakyat di negeri Selangor bermula 1 Julai 2021.

"Kerajaan akan bekerjasama dengan semua 56 pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh Selangor dalam usaha memastikan seramai mungkin mereka yang layak mendapat manfaat SISM40 ini," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!