MAIS sumbang 8,000 pek makanan buat barisan hadapan, pesakit Covid-19
SHAH ALAM – Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menghulur sumbangan pek makanan berjumlah RM26, 850 kepada 8,000 petugas barisan hadapan dan pesakit Covid-19.
Sumbangan disampaikan oleh Timbalan Setiausaha MAIS (Operasi), Nurhani Salwa Jamaluddin dan Ketua Audit Dalam MAIS Zaharuddin Salim di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) MAEPS serta Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) Stadium Malawati.
Setiausaha MAIS, Dr Ahmad Shahir bin Makhtar berkata, bantuan tersebut menggunakan peruntukan Baitulmal MAIS dan mendapat kerjasama anak syarikat MAIS, Teraju Ekonomi Asnaf Sdn Bhd.
Menurutnya, ia sebagai tanda prihatin terhadap maslahah ummah dan sebagai menghargai pengorbanan petugas barisan hadapan.
"MAIS turut menzahirkan salam takziah kepada keluarga yang kehilangan insan tersayang ekoran Covid-19.
"Semoga penularan wabak ini berjaya ditangani dan diakhiri dengan segera. Insya-ALLAH, kita semua dilindungi dan sentiasa dalam rahmat ALLAH SWT, " katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!