'Saya tahu kualiti yang saya ada'
PENYERANG naturalisasi negara, Guilherme de Paula tidak mahu cepat melatah dengan kritikan yang dilemparkan sesetengah pihak selepas persembahan hambarnya ketika tewas 0-4 kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE) baru-baru ini.
Menurut de Paula, kritikan tersebut diambilnya sebagai satu motivasi untuk bangkit melakukan lebih baik bersama pasukan kebangsaan.
"Saya sedar jangkaan dan harapan penyokong terhadap pemain naturalisasi seperti saya sangat tinggi. Saya juga tahu kritikan teruk dilemparkan kepada saya selepas perlawanan menentang UAE itu.
"Tetapi, inilah bola sepak dan ia perkara normal bagi saya. Saya tidak boleh kawal apa orang nak kata atau kritik saya. Saya datang daripada Brazil, di Brazil perkara sebegini (kritikan) lebih teruk.
"Ini juga bukan kali pertama saya bermain di Malaysia. Saya tahu bagaimana orang Malaysia, malah saya bangga untuk bermain dan menyarung jersi Malaysia dan saya cintakan negara ini. Saya ambil kritikan ini sebagai motivasi kepada saya," katanya.
De Paula sebelum ini dikritik susulan prestasi hambar dan disifatkan tidak memberikan sebarang impak ketika skuad Harimau Malaya tewas 0-4 kepada UAE baru-baru ini.
Malah, penyokong Harimau Malaya juga mahu pemain kelahiran Brazil itu diletakkan di bangku simpanan dengan posisinya diberikan kepada pemain tempatan dalam perlawanan menentang Vietnam nanti.
Dalam pada itu, de Paula juga menafikan tuduhan bahawa dia tidak mempunyai jiwa untuk bermain bersama pasukan negara sebaliknya sentiasa memberikan komitmen 100 peratus di dalam latihan dan pada setiap perlawanan.
"Saya tidak tahu apa penyokong katakan mengenai saya tiada jiwa bermain. Pasukan ada statistik saya, mereka boleh tengok sama ada saya berlari atau tidak di dalam padang. Saya juga berikan komitemen penuh dan menyesuaikan diri dengan baik.
"Saya ada hubungan baik dengan semua rakan sepasukan dan kami bekerja keras. Tiada siapa dapat melihat apa yang kami lakukan di sini dan saya harap penyokong perlu percayakan apa yang kami sedang lakukan. Kami datang bukan untuk bercuti tetapi berjuang untuk memastikan pasukan mara ke peringkat seterusnya.
"Saya juga tahu kualiti saya dan apa yang boleh saya sumbangkan di atas padang selain saya ibaratkan semua perlawanan seperti perlawanan akhir. Mungkin orang tidak dapat lihat apa yang saya buat, tetapi saya sentiasa berikan yang terbaik," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!