Lelaki asing diberkas kerana mencabul
PETALING JAYA - Polis memberkas seorang lelaki warga asing pada Selasa kerana mencabul seorang wanita di sebuah kondominium di Kota Damansara di sini.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, tangkapan dilakukan susulan satu laporan polis yang dibuat mangsa berusia 51 tahun mendakwa dicabul lelaki berkenaan.
"Menurut mangsa, dalam kejadian kira-kira jam 8.20 malam Ahad, dia telah dicabul oleh seorang lelaki tidak dikenali ketika hendak masuk ke rumahnya di kondominium tersebut.
"Bertindak atas maklumat, kira-kira pukul 5.30 petang Selasa, sepasukan anggota dari Balai Polis Kota Damansara menahan seorang lelaki warga asing berusia 26 tahun di hadapan pos pengawal keselamatan kondominium terbabit," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Mohamad Fakhrudin, ketika disoal siasat, suspek yang merupakan penyewa di kondominium itu mengaku melakukan perbuatan itu.
Selain itu, katanya, suspek turut mengaku terlibat dalam satu kes cubaan samun di kawasan kondominium sama melibatkan mangsa seorang wanita tempatan berusia 24 tahun yang bekerja sebagai juruaudit pada 5 Jun lalu.
"Suspek yang tidak bekerja itu kini direman selama empat hari untuk tindakan lanjut.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan dan Seksyen 393 Kanun Keseksaan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!