Penjaja bebas berniaga hingga penghujung tahun
KUALA LUMPUR - Program Wilayah Bebas Berniaga yang dijadualkan tamat 31 Julai ini dilanjutkan hingga Disember depan.
Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, keputusan itu diumumkan awal sebagai menjawab teka teki peniaga dan membolehkan mereka merancang strategi meningkatkan perniagaan masing-masing.
Menurutnya, peniaga yang diberikan lesen sementara di bawah program itu akan disambung secara automatik.
"Mereka juga tidak dikenakan sebarang bayaran, diberikan lesen percuma dan boleh terus meniaga di WBB sampai akhir tahun ini.
"Cuma saya minta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) membuat tinjauan, pastikan kedudukan gerai tidak terlalu rapat atau terlalu sesak biar sesuai dengan peraturan serta prosedur operasi standard (SOP) semasa," katanya pada siaran langsung di Facebooknya pada Rabu.
Annuar berkata, seramai 4,500 penjaja diberikan lesen secara automatik sementara kira-kira 2,000 peniaga yang belum memiliki lesen diminta membuat permohonan lesen.
"Ada antaranya lesen mereka ditolak disebabkan tidak memenuhi syarat seperti isu penjarakan tapak. Mereka boleh memohon lesen dan cari tapak yang sesuai," katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan hampir 6,000 peniaga yang menyewa di premis DBKL diberikan potongan sewa sebanyak 50 peratus.
"Sementara peniaga di bawah Program Usahawan Anak Muda Kota diberikan sewa percuma dan tidak dikenakan sebarang bayaran.
"Selain peniaga di bawah DBKL, pemakluman ini juga berkuat kuasa di Perbadanan Putrajaya dan Labuan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!