Rombak sahaja kabinet kalau PN tidak 'perform'

Penganalisis politik cadang menteri yang gagal tunjuk prestasi memuaskan ditukar untuk menguatkan kembali kerajaan PN.
Penganalisis politik cadang menteri yang gagal tunjuk prestasi memuaskan ditukar untuk menguatkan kembali kerajaan PN.
A
A
A

SHAH ALAM - Seorang penganalisis politik mencadangkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) melaksanakan rombakan kabinet dengan menukar beberapa menteri yang gagal menunjukkan prestasi memuaskan sekiranya kerajaan sedia ada tidak mahu berterusan dilabel 'gagal'.

Penganalisis politik daripada Universiti Malaya (UM), Dr Mohammad Tawfik Yaakub berkata, sekiranya kerajaan PN didakwa gagal sekali pun, tiada keperluan untuk mana-mana pihak mendesak Yang di-Pertuan Agong menggunakan bidang kuasa Seri Paduka Baginda bagi menukar kerajaan sedia ada di bawah Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021.

Jelas beliau, secara keseluruhan, rating prestasi semasa kerajaan PN boleh diberikan markah 70 peratus dan masih dianggap baik, meskipun terdapat banyak ruang penambahbaikan perlu dilaksanakan kerajaan PN.

"Setakat ini, saya melihat beberapa menteri Kabinet seperti Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Khairy Jamaluddin Abu Bakar menunjukkan prestasi memberangsangkan dalam menggalas tanggungjawab berat menguruskan krisis pandemik Covid-19 ketika ini.

"Namun, saya tidak menolak pandangan sekurang-kurangnya lima menteri kerajaan PN yang dilihat gagal 'perform' sepanjang tempoh darurat dilaksanakan dan perlu diganti dengan pemimpin lebih proaktif.

"Sekiranya kerajaan bersedia melaksanakan rombakan Kabinet dan menukar menteri-menteri tidak 'perform', saya yakin gesaan tukar kerajaan baharu akan dapat dikendurkan," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Beliau berkata demikian bagi mengulas desas-desus kemungkinan berlaku pertukaran kerajaan baharu susulan Yang di-Pertuan Agong menitahkan semua ketua parti politik di negara ini datang menghadap baginda di Istana Negara, bermula Rabu sehingga Jumaat ini.

Artikel Berkaitan:

Dr Mohammad Tawfik
Dr Mohammad Tawfik

Namun, ada sumber kerajaan menjelaskan ia tidak lebih sekadar inisiatif Seri Paduka Baginda untuk mendapatkan pandangan semua ketua parti berhubung tempoh proklamasi darurat.

Mengulas lanjut, Mohammad Tawfik secara peribadi berpandangan identiti lima menteri dalam kerajaan PN yang menunjukkan prestasi tidak memberangsangkan adalah Menteri Kanan (Ekonomi), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba; Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Kesenian, Datuk Seri Nancy Shukri; Menteri Pembangunan Wanita dan Keluarga, Datuk Seri Rina Harun dan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad.

Jelas beliau, lambakan kritikan dilontarkan terhadap Mohamed Azmin pada ketika ini dilihat ada kewajarannya, susulan keputusan beliau yang dilihat tidak seiring dengan hasrat kerajaan dalam melandaikan lekuk jangkitan Covid-19 melalui Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) total lockdown.

"Sekiranya kelima-lima menteri tersebut berfungsi dengan baik, saya tidak nampak kerajaan PN berdepan masalah serius dalam menguruskan krisis Covid-19 kerana kelima-lima kementerian berkenaan merupakan satu rangkaian penting untuk diuruskan secara bersepadu.

"Menyentuh mengenai prestasi Mohamed Azmin, saya akui aspek ekonomi sangat penting, namun pada saat kes jangkitan Covid-19 semakin tinggi, sepatutnya aspek nyawa rakyat harus diutamakan.

"Saya tidak nampak pengalaman Mohamed Azmin dalam kabinet mampu membawa negara keluar daripada kemelut ekonomi akibat pandemik Covid-19 dan atas faktor itu, saya berpendapat beliau juga harus diganti dengan pemimpin lebih berpengalaman," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!