Presiden Maduro umum tutup sempadan Venezuela-Brazil

Rakyat Venezuela berdepan krisis kemanusiaan ekoran kemelut politik yang semakin meruncing. Foto vocfm
Rakyat Venezuela berdepan krisis kemanusiaan ekoran kemelut politik yang semakin meruncing. Foto vocfm
A
A
A

CARACAS - VENEZUELA. Presiden Venezuela Nicolas Maduro mengumumkan penutupan sempadan negaranya dengan Brazil bagi menyekat kemasukan bantuan kemanusiaan.

Bercakap menerusi satu siaran televisyen, Maduro berkata, sempadan kedua-dua negara akan ditutup sepenuhnya sehingga diberitahu kelak.

Maduro turut mempertimbangkan menutup sempadannya dengan Colombia bagi menghalang pihak pembangkang membawa masuk bantuan kemanusiaan.

Jurucakap Presiden Brazil Jair Bolsonaro, Jeneral Octávio Régo Barros berkata, dengan kerjasama Amerika Syarikat (AS), bekalan barang keperluan termasuk makanan dan ubat-ubatan akan disimpan di bandar Pacaraima sebelum ia diedarkan kepada rakyat Venezuela.

"Brazil menyertai inisiatif antarabangsa untuk memberi sokongan kepada pemimpin pembangkang Juan Guaido, " kata Barros.

Dalam pada itu, Guaido yang mengisytiharkan dirinya sebagai pemangku presiden ketika protes anti kerajaan bulan lalu, kini mengetuai konvoi ke sempadan Colombia bagi menerima bantuan kemanusiaan AS yang disekat tentera Venezuela.

Menurut Guaido, bantuan tersebut akan dibawa masuk dengan apa cara sekalipun menjelang 23 Februari ini.

Presiden Maduro menyifatkan penghantaran bantuan sebagai langkah AS untuk menggulingkan kerajaannya dan 'merampas' simpanan minyak Venezuela.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, Venezuela turut menutup sempadan laut dan udara dengan Pulau Curacao yang menawarkan diri untuk menyimpan bantuan tersebut. - BBC

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!