Gangguan bekalan air di 13 kawasan di Kuala Lumpur
KUALA LUMPUR - Sebanyak 13 kawasan di sekitar Kuala Lumpur akan mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual berikutan paip pecah di Jalan Kuari di sini hari ini.
Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd, Elina Baseri menerusi kenyataan pada Rabu memaklumkan bekalan air ditutup pada 4 petang bagi pembaikan paip itu yang dijangka siap 4 pagi Khamis.
Elina berkata, kawasan yang terjejas adalah Kampung Cheras Baru, Pandan Mewah, Taman Muda, Taman Bukit Permai, Taman Bukit Pandan, Taman Mawar, Taman Seraya, Taman Mega, Taman Bukit Teratai, Taman Melur, Taman Saga, Taman Putra dan Taman Mestika.
“Bekalan air akan mula disalurkan semula setelah kerja-kerja pembaikan siap sepenuhnya. Tempoh masa pemulihan bekalan air adalah berbeza dari satu kawasan ke kawasan lain bergantung kepada lokasi dan jarak premis pengguna.
“Air Selangor sedang menggerakkan lori-lori tangki ke kawasan terjejas. Para pengguna diharap dapat mematuhi penjarakan fizikal dan memakai pelitup muka semasa mengambil bekalan air daripada lori-lori tangki itu,” katanya.
Menurutnya, pengguna boleh merujuk semua saluran komunikasi rasmi seperti aplikasi Air Selangor, laman sesawang Air Selangor di www.airselangor.com, Facebook, Instagram dan Twitter atau hubungi Pusat Perhubungan Air Selangor di talian 15300. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!