MEF cadang skop moratorium diperluas kepada M40

MEF mencadangkan agar skop moratorium di bawah Pemerkasa Tambahan diperluaskan kepada kumpulan M40 dan semua jenis perniagaan. Gambar kecil: Syed Hussain
MEF mencadangkan agar skop moratorium di bawah Pemerkasa Tambahan diperluaskan kepada kumpulan M40 dan semua jenis perniagaan. Gambar kecil: Syed Hussain
A
A
A

KUALA LUMPUR - Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) mencadangkan agar skop moratorium di bawah Pemerkasa Tambahan diperluaskan kepada kumpulan M40 dan semua jenis perniagaan.

MEF dalam satu kenyataan pada Rabu berkata, ia harus meliputi semua kemudahan peribadi termasuk pinjaman untuk overdraf, gadai janji, kenderaan dan kad kredit.

Presidennya, Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman berkata, susulan Sekatan Pergerakan Penuh yang telah memasuki minggu kedua, kesan terhadap perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta perusahaan mikro telah mencapai tahap maksimum dengan kebanyakan majikan terpaksa bergelut untuk terus bertahan.

“MEF menerima maklum balas daripada para majikan ini bahawa situasi sudah tidak lagi mampan.

“Ramai daripada mereka hanya memikirkan tentang kelangsungan hidup kerana tidak mempunyai aliran tunai untuk meneruskan operasi,” katanya.

Beliau berkata, moratorium sepatutnya diberikan secara automatik selama enam bulan sehingga akhir tahun 2021 dengan kadar tanpa faedah.

“Pada waktu ini, pihak bank sepatutnya mengetepikan semua faedah dan caj bank untuk penjadualan semula dan faedah disebabkan kelewatan pembayaran pinjaman,” katanya.

Katanya bank-bank yang tampil membantu perniagaan dan peminjam individu dalam tempoh yang mencabar ini banyak membantu dalam memastikan pemulihan ekonomi berjalan lebih lancar. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!