Sakit bukan penghalang untuk bangkit

Anak kelahiran Jerantut, Pahang ini tidak menjadikan sakitnya sebagai penghalang.
Anak kelahiran Jerantut, Pahang ini tidak menjadikan sakitnya sebagai penghalang.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Lima tahun lalu seorang wanita mundar-mandir berjalan di satu kawasan perumahan mengutip tin, besi buruk dan cebisan kotak untuk dijual.

Wanita itu tidak kisah apa orang kata asalkan benda yang dikutipnya boleh dijual untuk mendapat hasilnya.

Walaupun gelagatnya mungkin dilihat tidak setaraf dengan status yang pernah dipegangnya selama ini, namun ia bukan penghalang untuknya bangkit kembali.

Siapa sangka, wanita yang kelihatan biasa-biasa itu sebenarnya pernah menjadi guru sekolah, nazir jabatan agama dan tenaga pengajar di tadika.

Selain itu dia turut menjadi pengasas kepada empat buah sekolah tadika hasil usaha keras sejak merantau ke ibu kota 20 tahun lalu.

Wanita gagah itu ialah Norul Huda Abdul Hadi, 41. Disebalik kecekalannya rupanya dia adalah pengidap penyakit endometriosis sejak remaja namun disahkan kritikal pada tahun 2014 menyebabkan hidupnya berubah dan terpaksa berhabis wang untuk tujuan rawatan.

Anak kelahiran Jerantut, Pahang ini, terpaksa melepaskan semua kedudukan yang dia ada termasuk menjual keempat-empat tadika yang dimilikinya sekaligus kehilangan pendapatan mencecah lima angka sebulan yang diperolehnya selama ini.

Lebih mengharukan wang simpanannya turut habis diguna untuk membayar kos rawatan di hospital swasta.

Artikel Berkaitan:

Norul bersama salah seorang pekerjanya menyiapkan tempahan.
Norul bersama salah seorang pekerjanya menyiapkan tempahan.

"Saya hidup boleh dikatakan mewah. Tapi bila sakit, saya tidak mampu jana pendapatan dan jadi serba tidak kena. Tambahan pula saya menjaga ibu bapa saya.

"Waktu awal-awal kritikal, saya memang tidak mampu untuk bergerak. Ketika itu keluarga menjadi kekuatan saya. Adik beradik yang lain banyak bantu dan memberi sokongan kepada saya.

"Jadi bila ada daya, dalam keadaan menahan sakit pun saya tetap cari jalan untuk dapatkan wang walaupun terpaksa menebalkan muka mengumpul tin dan besi untuk dijual," katanya kepada Sinar Harian.

Liku-liku hidup perantau

Norul Huda berkata, bukan mudah untuk berjaya dan menganggap apa yang berlaku adalah ujian dari yang Esa.

Berkongsi pengalamannya ketika berhijrah ke Kuala Lumpur ketika usia 20 tahun, Norul berkata, dia menerima tawaran bekerja di sekolah tadika dalam masa sama melakukan pelbagai kerja lain termasuk bekerja di beberapa pusat latihan dan pusat bahasa sehingga dilantik memegang tiga jawatan besar termasuk sebagai Pengetua IPT Platinum Language Center.

Malah, Norul Huda yang memiliki ijazah pendidikan juga pernah berkhidmat sebagai guru selama kira-kira dua tahun sebelum membuat keputusan menamatkan perkhidmatan untuk memberi tumpuan kepada tadika yang diusahakan.

"Macam-macam kerja saya buat, termasuk berniaga air di stadium hanya dengan tolak troli, buka bonet kereta untuk jual biskut, mengambil tempahan kuih raya," katanya.

Namun segalanya berakhir kerana penyakitnya dan kini dia seakan memulakan semula hidupnya.

Dulu bayar, sekarang terima zakat

Rentetan kepayahan hidup yang dialami selepas jatuh sakit, Norul Huda tidak malu mengakui bahawa dia tersenarai sebagai penerima bantuan asnaf Baitulmal Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) kali kedua bagi memulakan perniagaan biskut.

Keluarga menjadi sumber kekuatan untuk Norul Huda terus bangkit.
Keluarga menjadi sumber kekuatan untuk Norul Huda terus bangkit.

Katanya, kali pertama bantuan diterima ketika mahu mengembangkan perniagaan tadika yang diusahakannya dulu, dan selepas berjaya, dia menjadi pembayar zakat sehinggalah jatuh sakit.

"Selepas jatuh sakit dan beransur pulih, saya minta bantuan perniagaan daripada Baitulmal untuk memulakan perniagaan biskut kecil-kecillan.

"Memang tidak sangka, dulu saya dalam golongan yang mampu membayar zakat, tetapi apabila diberikan ujian begini, saya pula yang jadi penerima zakat. Sebab itu kena selalu beringat untuk tunaikan kewajiban membayar zakat sebab satu hari nanti mungkin kita mungkin boleh jadi penerimanya," katanya.

Bangkit jadi usahawan berjaya

Bertitik tolak dari bantuan yang diperolehi pada 2015, Norul Huda kini boleh berbangga dengan perniagaan biskut yang dijenamakan sebagai 'Famous Shukulate' mendapat permintaan pasaran luar negara.

Tidak hairanlah anak ke enam daripada 11 adik beradik ini pernah dinobatkan sebagai Tokoh Usahawan Asnaf pada tahun 2017.

"Saya mampu bangkit dengan bantuan itu, hanya bermodalkan permulaan RM4,000 dan bantuan beberapa mesin peralatan bakeri, saya kembangkan menjadi perniagaan yang kini boleh bertapak," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!