Pertimbangan bijaksana, adil Agong

Sesi pertemuan Yang di-Pertuan Agong bersama semua ketua parti-parti politik di Istana Negara bermula Rabu sememangnya menjadi tumpuan rakyat. -Foto Bernama
Sesi pertemuan Yang di-Pertuan Agong bersama semua ketua parti-parti politik di Istana Negara bermula Rabu sememangnya menjadi tumpuan rakyat. -Foto Bernama
A
A
A

SEJAK awal pagi Rabu, tumpuan rakyat pastinya terarah kepada pergerakan kenderaan membawa ketua-ketua parti di Malaysia keluar dan masuk ke pekarangan Istana Negara, Kuala Lumpur.

Hal ini kerana pelbagai spekulasi timbul susulan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mengadakan pertemuan dengan semua ketua parti bermula 9 hingga 11 Jun.

Intipati pertemuan penting itu menjadi perhatian kerana terdapat dakwaan kerajaan Perikatan Nasional (PN) dikatakan gagal menangani pandemik Covid-19 dan isu ekonomi negara dengan baik meskipun proklamasi darurat diperkenankan Tuanku pada Januari lalu.

Walaupun ada desas-desus mengatakan pertemuan itu sebagai isyarat sebuah kerajaan darurat bakal ditubuhkan sebagaimana pernah dicadangkan Timbalan Speaker Parlimen, Datuk Seri Azalina Othman Said sebelum ini, namun, ada sumber kerajaan menjelaskan ia tidak lebih sekadar inisiatif Al-Sultan Abdullah untuk mendapatkan pandangan semua ketua parti berhubung tempoh proklamasi darurat.

Pandangan itu diperkukuhkan dengan kenyataan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas selesai menghadap Tuanku Al-Sultan Abdullah pada Rabu.

Jelas beliau, blok pembangkang merayu Seri Paduka Baginda menghalang perlanjutan tempoh proklamasi darurat ini sedaya upaya.

Anwar turut memberi penjelasan isu pembentukan kerajaan baharu langsung tidak dibincangkan dalam pertemuan selama hampir sejam setengah itu.

Persoalan utama bermain di fikiran rakyat, mampukah suara ketua-ketua parti di negara ini memberi keazaman kepada Seri Paduka Baginda untuk menamatkan tempoh proklamasi darurat atau sekurang-kurangnya tidak melanjutkannya kelak?

Artikel Berkaitan:

Dalam menjawab persoalan itu, semua ketua parti politik di Malaysia perlu mengenepikan sementara sentimen kepartian dan wajib memohon perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk menamatkan proklamasi darurat serta-merta.

Al-Sultan Abdullah berkenan menerima menghadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mesyuarat Pra-Kabinet di Istana Negara. - Foto FB Istana Negara
Al-Sultan Abdullah berkenan menerima menghadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mesyuarat Pra-Kabinet di Istana Negara. - Foto FB Istana Negara

Kepentingan rakyat

Pandangan itu dikemukakan Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Salahuddin Ayub dengan beliau berkeyakinan semua ketua parti politik akan pergi menghadap Seri Paduka Baginda atas nama kepentingan rakyat semata-mata.

“Dalam mendepani pandemik Covid-19 yang mencetuskan terlalu banyak permasalahan kepada rakyat meskipun proklamasi darurat sudah dilaksanakan kerajaan PN, saya berpandangan semua ketua parti politik perlu mengetepikan kepentingan parti masing-masing dan kembali menfokuskan kepentingan rakyat.

“Bagi saya, kita harus kembali kepada konsep Raja Berpelembagaan dengan saya mengharapkan Seri Paduka Baginda memperkenankan usul sidang Parlimen dibuka semula dengan segera.

“Bagi Amanah, kita akan pergi atas nama kepentingan rakyat dan tidak akan minta lebih daripada itu. Atas kepentingan itu, kita akan memastikan ruang demokrasi yang kembali diberikan kelak akan digunakan sepenuhnya untuk membahaskan isu Covid-19,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Sementara itu, Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Sim Tze Tzin menganggap inisiatif pertemuan Yang di-Pertuan Agong dengan semua ketua parti politik bermula ini sebagai isyarat pembentukan Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 adalah gagal dan tidak mencapai objektif sebenar.

ARTIKEL BERKAITAN: Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu pada 16 Jun ini

Agong terima menghadap PM untuk mesyuarat Pra-Kabinet

Anwar kemuka usul tamat darurat kepada Agong, tiada usul tukar kerajaan

Jelas Ahli Parlimen Bayan Baru itu, beliau turut berpandangan Seri Paduka Baginda boleh bertindak melangkaui fungsi jawatankuasa khas bagi mendengar terus suara daripada wakil-wakil parti politik.

“Langkah ini membuktikan keprihatinan dan kebijaksanaan Seri Paduka Baginda yang berkenan mendengar pandangan daripada pihak lebih dekat dengan suara rakyat berbanding satu jawatankuasa semata-mata.

“Selama ini, ramai pihak beranggapan Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 lebih berfungsi sebagai ‘delay tactic’ kerajaan PN selain dijadikan kaedah menjustifikasi pelanjutan tempoh proklamasi darurat yang sepatutnya berakhir 1 Ogos hadapan,” katanya.

Mengulas kebimbangan sidang Parlimen menjadi medan ‘politiking’ ahli-ahli Parlimen sekiranya kembali dibuka semula, Tze Tzin menegaskan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu berjiwa besar untuk berbincang dengan semua ketua parti politik pembangkang dalam memastikan intipati persidangan benar-benar menfokuskan isu rakyat.

“Perdana Menteri harus memastikan peranan ahli-ahli Parlimen pembangkang dilibatkan dalam setiap tindakan kerajaan dengan fungsi kami harus lebih dihormati dan diberikan maklum balas dalam setiap persoalan ditimbulkan,” ujarnya.

Dalam pada itu, seorang pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) membidas dakwaan kononnya kerajaan gagal menangani Covid-19 meskipun proklamasi darurat dilaksanakan sejak enam bulan lalu.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid turut mempersoalkan bentuk kayu pengukur prestasi digunakan pembangkang dalam menghakimi kerajaan PN.

Kenderaan yang membawa Muhyiddin dilihat keluar dari pintu 1 Istana Negara selepas jam 8.56. -Foto Bernama
Kenderaan yang membawa Muhyiddin dilihat keluar dari pintu 1 Istana Negara selepas jam 8.56. -Foto Bernama

Kayu ukur gagal

“Sebenarnya, tiada satu bukti jelas mengatakan rakyat menderita sewaktu mendepani tri-krisis terbesar dihadapi negara ketika ini, mencakupi aspek politik, kesihatan dan ekonomi.

“Kalau kerajaan PN didakwa gagal, apa kayu pengukur digunakan bagi membuktikannya? Tri-krisis yang berlaku ketika ini langsung tidak pernah dihadapi mana-mana kerajaan terdahulu, termasuk kerajaan Barisan Nasional (BN) sendiri,” ujar beliau.

Ahli Parlimen Hulu Terengganu itu turut berpandangan tiada pihak yang boleh memberi jaminan isu pandemik Covid-19 akan selesai sekiranya tempoh proklamasi darurat ditamatkan serta-merta.

“Lagipun, dengan mengatakan bila sidang Parlimen tidak diadakan, maka rakyat susah juga adalah satu tuduhan tidak berasas. Kerajaan PN masih berfungsi dengan baik meskipun sidang Parlimen ditangguhkan ketika ini,” katanya.

Bagaimanapun Rosol akur sekiranya Yang di-Pertuan Agong menitahkan tempoh darurat ditamatkan dengan sidang Parlimen dibuka semula.

“Pemimpin-pemimpin kerajaan PN pastinya akan menjunjung apa sahaja keputusan dititahkan Seri Paduka Baginda kelak kerana perkara paling penting adalah soal kebajikan rakyat diutamakan,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!