Pemegang kad UNHCR cecah jutaan orang

Pelarian terutama daripada etnik Rohingya menjadikan Malaysia sebagai negara pilihan untuk mereka mendapatkan perlindungan secara mudah dengan dibantu UNHCR.
Pelarian terutama daripada etnik Rohingya menjadikan Malaysia sebagai negara pilihan untuk mereka mendapatkan perlindungan secara mudah dengan dibantu UNHCR.
A
A
A

[EKSKLUSIF] PUTRAJAYA - Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengakui berasa bimbang dengan jumlah pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) di negara ini akan mencecah angka jutaan orang dalam tempoh tidak sampai 10 tahun lagi.

Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, keadaan itu tidak mustahil berlaku sekiranya tindakan mengeluarkan kad itu dengan sewenang-wenangnya tidak dihentikan segera.

Beliau berkata, situasi berkenaan tidak adil untuk Malaysia kerana negara ini semestinya tidak mahu menanggung masalah yang dibawa oleh orang luar.

“Saya akan bekerjasama dengan Wisma Putra dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk kita mencari jalan penyelesaian supaya UNHCR tidak mudah dan sewenang-wenang mengeluarkan kad berkenaan.

“Kita negara berdaulat dan kita akan menegakkan hak kita dengan undang-undang yang ada,” katanya pada temu bual khas di kementeriannya pada Rabu.

Beliau mengulas mengenai desakan segelintir pihak agar pejabat UNHCR di negara ini ditutup kerana fungsinya yang didakwa sudah menyimpang daripada matlamat asal.

UNHCR kini dilihat lebih berperanan memastikan Malaysia menjadi negara penempatan pelarian hingga mendorong pelarian untuk terus datang ke negara ini.

Menurut statistik, pemegang kad UNHCR di Malaysia sekarang ialah seramai 179,383 pendatang asing tanpa izin (PATI) berbanding hanya 140,982 pada tahun 2013.

Artikel Berkaitan:

Hamzah dalam temu bual khas di kementeriannya di Putrajaya pada Rabu.
Hamzah dalam temu bual khas di kementeriannya di Putrajaya pada Rabu.

Ini bermakna berlaku peningkatan sebanyak 38,401 dalam tempoh lapan tahun lalu.

Dari segi jumlah pelarian UNHCR yang dihantar ke negara ketiga bermula pada tahun 2013 ialah seramai 8,537 orang, diikuti tahun 2014 (10,976), 2015 (12,547), 2016 (8,106), 2017 (2,631), 2018 (2,407), 2019 (2,850), 2020 (971) dan tahun 2021 ialah seramai 188 orang.

Terlalu mudah

Sementara itu, Hamzah turut mempersoalkan tindakan UNHCR yang begitu mudah mengeluarkan kad berkenaan dan memberikan kepada pelarian untuk tinggal di Malaysia.

“Apa punya kerja ini? Lepas itu (UNHCR) nak marah pula saya kerana mereka tidak boleh pergi di depoh tahanan kita.

“Kenapa? Adakah anda mempunyai kuasa hendak bagi kad UNHCR (di depoh)? Anda tidak ada kuasa. Tapi anda nak masuk itu pasal apa? Pasal nak bagi kad UNHCR itu?” soal beliau.

Hamzah menegaskan, perjumpaan dan perbincangan dengan UNHCR mengenai perkara itu telah diadakan sejak tahun lepas dan ia akan diteruskan selepas ini.

“Ada beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan individu perseorangan menyokong perjuangan saya untuk masa depan supaya masalah ini tidak berpanjangan.

“Saya tidak mahu suatu hari nanti, dalam masa tidak sampai 10 tahun, jumlah (pemegang kad UNHCR) menjadi berjuta-juta orang,” tegas beliau.

No Image Caption

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!