MPK edar lebih 1,000 waran
KLUANG - Majlis Perbandaran Kluang (MPK) menyerahkan 1,344 waran terdiri daripada 1,253 waran kediaman dan 91 waran komersial berjumlah RM1.92 juta kepada pemilik premis bagi menjelaskan bayaran tunggakan sebelum sitaan dilaksanakan setelah tamat tempoh notis.
Yang Dipertuanya, Mohd Rafi Abdullah berkata, Ops Waran ini bagi memaklumkan kepada pemilik premis terlibat untuk membayar tunggakan hasil cukai taksiran dengan harapan masalah tunggakan ini dapat dikurangkan setiap tahun.
"Kutipan hasil ini juga dapat membantu MPK merancang untuk memberi perkhidmatan lebih baik dan sebagai pemangkin utama bagi memastikan pembangunan dapat dilaksanakan dengan lebih cekap dan berkesan.
"Masalah ini (tunggakan cukai taksiran) boleh menyebabkan MPK menghadapi banyak cabaran pada tahun ini dan akan datang terutamanya cabaran dalam menghadapi kenaikan kos operasi dan meningkatkan hasil selain terpaksa berdepan kekangan kewangan akibat tunggakan kutipan hasil ini,” katanya.
Menurutnya, peranan ahli majlis untuk mengingatkan masyarakat setempat mengenai kewajipan mereka sebagai pembayar cukai juga diperlukan dan kegagalan ini menyebabkan MPK tidak dapat memberikan perkhidmatan yang diperlukan oleh masyarakat.
Pada masa sama, pada 11 Februari lalu, MPK melakukan serbuan ke atas sebuah premis perniagaan yang disyaki didalangi warga asing di Taman Delima, di sini.
"Walaupun telah diberi notis arahan pada 3 Februari lalu untuk menutup perniagaan yang dijalankan tanpa lesen daripada MPK, pemilik premis tersebut yang memegang pasport Indonesia masih menjalankan perniagaan.
"Tindakan sitaan telah diambil di bawah Undang-Undang Kecil (UUK) Pelesenan Tred Perniagaan dan Industri MPK 2019 dan kami optimis membanteras kegiatan perniagaan tanpa lesen ini sama ada melibatkan penduduk tempatan atau warga asing," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!