JAS sahkan Tasik Chini bersih, selamat
KUANTAN- Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pahang mengesahkan kualiti air di Tasik Chini berada pada tahap bersih dan selamat untuk semua hidupan terutamanya hidupan air.
Ia berdasarkan hasil pemantauan kualiti air di tasik itu sejak tahun 2005 hingga kini.
JAS Pahang dalam satu kenyataan berkata, Tasik Chini yang dianugerahkan status Rizab Biosfera oleh UNESCO pada Mei 2009 di bawah program Manusia dan Biosfera yang dikoordinasi oleh Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) mempunyai 15 stesen pemantauan kualiti air di lokasi-lokasi yang ditetapkan.
"Kekerapan pemantauan pula sekali sebulan bagi setiap stesen yang mana parameter-parameter utama yang diukur keperluan oksigen Biokimia (BOD), pepejal terampai (SS), nitrogen amonia (AN) dan besi (Fe).
"Secara umumnya didapati bahawa, data kualiti air bagi tahun 2020 dan 2021 (sehingga Mac) menunjukkan kualiti air Tasik Chini dalam kategori bersih," jelas kenyataan itu pada Khamis susulan laporan sebuah portal berita yang mendakwa air di Tasik Chini tercemar teruk ketika ini.
Kata JAS Pahang, bagi tahun 2020 bacaan purata BOD pada kadar 1.99 miligram perliter (mg/l) yang berada pada Kelas 2 dengan sub-indeks 92, SS 6.95 mg/l berada pada Kelas 1 dengan sub-indeks 94 dan bacaan AN pada kadar 0.02 mg/l yang berada pada Kelas 1 dengan sub-indeks 99
Sementara itu, bagi tahun 2021(sehingga Mac) bacaan purata bagi BOD kekal pada kadar 1.99 mg/l yang berada pada Kelas 2 dengan sub-indeks 92, SS 8.93 mg/l yang berada pada Kelas 1 dengan sub-indeks 92 dan AN 0.05 mg/l yang berada pada Kelas 1 dengan sub-indeks 95.
JAS Pahang juga menjelaskan, purata bacaan parameter Fe atau besi pada tahun 2020 pada kadar 2.54 mg/l yang menunjukkan trend menurun berbanding tahun sebelumnya (3.81 mg/l).
"Bagaimanapun pada tahun 2021, purata bacaan bagi tiga bulan pertama menunjukkan trend meningkat kepada 3.6 mg/l yang mana peningkatan berlaku pada Februari disebabkan faktor hujan lebat tetapi bacaan telah menurun pada Mac.
"Ujian in-situ yang dijalankan di dua lokasi di Tasik Chini pada 9 Jun 2021 mendapati, parameter Oksigen Terlarut (DO) adalah 4.2 mg/l hingga 4.7 mg/l, kekeruhan sebanyak 9.6 hingga 15.8 Nephelometric Turbidity Unit (NTU) dan bacaan PH antara 6.04 hingga 6.67," katanya.
Menurut kenyataan itu juga, JAS Pahang dengan kerjasama Kolej Matrikulasi Pahang telah mengeluarkan Profil Kualiti Air Tasik Chini bagi Tahun 2016 hingga 2020 pada Oktober 2020.
"Profil ini boleh dirujuk orang ramai di pejabat JAS Pahang," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!