Dr Mahathir, Shafie dijadualkan menghadap Agong hari ini
KUALA LUMPUR - Tumpuan hari ini masih terarah ke Istana Negara bagi siri pertemuan melibatkan ketua-ketua pemimpin parti politik yang dijadualkan akan sembah menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Ketika ini media masih lagi berkampung di pekarangan pintu 2 Istana Negara bagi membawakan perkembangan terkini situasi dari Istana Negara.
Media difahamkan, pagi ini wakil daripada Parti Bersatu Sabah (PBS) akan sembah menghadap Yang di-Pertuan Agong namun waktu pertemuan masih belum dapat dipastikan.
Wakil pemimpin UMNO juga difahamkan akan turut sembah menghadap bagi sebelah pagi ini namun sehingga kini belum ada sebarang maklumat rasmi berhubung perkara itu.
Sementara itu, bekas Perdana Menteri, yang juga Presiden Penaja Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr Mahathir Mohamad pula dijadualkan menghadap jam 2.30 petang nanti.
Media difahamkan kemudiannya ia akan disusuli oleh Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal juga dijadualkan sembah menghadap Yang di-Pertuan Agong petang ini.
Siri sembah menghadap Yang di-Pertuan Agong melibatkan pemimpin-pemimpin politik ini telah bermula bermula Rabu dan dijangka berakhir Jumaat.
ARTIKEL BERKAITAN: Muhyiddin tiba di Istana Negara
Pada Rabu, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin selesai sembah menghadap pada jam 8.56 pagi.
Sesi sembah mengadap tersebut merupakan rutin sebelum berlangsungnya mesyuarat kabinet.
Bagaimanapun, siri pertemuan itu telah disusuli oleh tiga lagi pemimpin pembangkang iaitu Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah).
ARTIKEL BERKAITAN: Anwar tiba di Istana Negara menghadap Agong
Antara usul yang disuarakan ketika sesi sembah menghadap itu adalah penamatan proklamasi darurat, isu kegagalan kerajaan menangani Covid-19 dan juga rayuan pembukaan semula sidang Parlimen.
ARTIKEL BERKAITAN: Amanah rayu Agong guna kuasa buka semula Parlimen
ARTIKEL BERKAITAN: Rakyat yakin kebijaksanaan Agong selesai masalah
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!