PRK Semenyih: Perang poster, bendera hambar

No Image Caption
A
A
A

SEMENYIH - Perang poster dan gegantung calon serta bendera parti cukup sinonim pada mana-mana pilihan raya, satu keadaan yang secara lazimnya menunjukkan kemeriahan suasana pilihan raya itu di sesuatu tempat.

Bagaimanapun, keadaan berbeza pada PRK DUN Semenyih yang setelah enam hari kempen berjalan sejak Sabtu, suasana meriah itu tidak begitu dirasai.

Tinjauan mendapati tidak banyak bahan-bahan kempen seperti poster, gegantung dan bendera yang dipasang. Hanya sesetengah kawasan sahaja dipenuhi bahan kempen daripada calon ataupun parti yang bertanding, dan kebanyakannya tertumpu di kawasan kubu kuat masing-masing.

Di kawasan Bandar Tasik Kesuma, tinjauan mendapati kebanyakan bahan kempen dipenuhi dengan bendera parti BN dengan wajah calonnya Zakaria Hanafi terpampang di kiri dan kanan bahu jalan di situ, yang kawasan itu diketahui merupakan kubu kuat parti tersebut.

Di beberapa kawasan lain, dipercayai kubu kuat PH terdapat banyak bendera parti itu dan poster calonnya Muhammad Aiman Zainali, begitu juga calon Parti Sosialis Malaysia (PSM) Nik Aziz Afiq Abdul, di beberapa kawasan, banyak menampilkan wajah calon PSM itu.

Bagi calon Bebas Kuan Chee Heng yang dikenali sebagai “Uncle Kentang” beliau belum lagi mengerahkan jenteranya untuk mengetengahkan logo mahupun poster wajahnya, sebagai medium pemberitahuan bahawa beliau merupakan antara calon yang bakal berentap dan meraih undi di sini.

Peniaga nasi ayam di Pekan Semenyih, Haizir Tarmizi, 24, berkata perkara itu mungkin terlalu awal untuk diperkatakan kerana tempoh berkempen adalah 14 hari tetapi ketika ini jelas kemeriahan bendera parti dan poster calon berdasarkan pemerhatiannya hanya tertumpu di kawasan tertentu sahaja.

“Saya tengok di kawasan Kesuma memang banyak bendera BN berbanding di sini (Pekan Semenyih). Kalau di sini kita dapat lihat pada laluan utama Semenyih ke Beranang di belakang gerai saya ni memang dimonopoli oleh bendera PH. Bendera PSM dan BN boleh kata tiada.

Artikel Berkaitan:

“Kempen pun saya tengok sambutan tu ada tapi tak berapa sangatlah...bukanlah meriah sangat,” katanya kepada Bernama.

Berlaku juga keadaan sewaktu kempen itu apabila PH serta PSM yang yang menggunakan skema warna merah putih didapati menggantung bendera parti berdekatan antara satu sama lain di beberapa kawasan seperti di laluan jambatan Sungai Semenyih di sini.

Dalam pada itu, ada juga yang berpendapat berbanding Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU) lepas, calon PRK kali ini kurang bersungguh-sungguh, mungkin disebabkan siapa sahaja yang menang tidak memberikan kesan kepada kedudukan kerajaan negeri PH.

“Saya tengok calon ada yang tak berapa bersemangat berkempen dan ada yang tidak jadi hadir dengan membatalkan niat ke tempat berkempen dan sebagainya. Mereka perlu bijak dan berusaha menawan hati penduduk.

“Mungkin masih awal tapi boleh dilihat sendiri, kempen yang mereka lakukan saya tengok tak berapa menarik hati orang di sini,” kata peniaga gerai makanan Azli Iskandar, 42.

Bagaimanapun, semua ini mungkin berubah ketika tinggal beberapa hari menjelang hari pengundian awal pada 26 Feb dan hari pengundian sebenar pada 2 Mac.

PRK DUN Semenyih menyaksikan pertandingan empat penjuru antara Zakaria, Muhammad Aiman, Kuan dan Nik Aziz Afiq. Ia diadakan berikutan kematian penyandangnya, Bakhtiar Mohd Nor daripada Bersatu yang mewakili PH pada 11 Januari lepas akibat serangan jantung. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!