PPV pandu lalu pertama di Perak mulakan operasi
IPOH - Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Pandu Lalu pertama di Perak mula beroperasi pada Khamis dengan jumlah 100 penerima vaksin.
Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, bertempat di Stadium Indera Mulia, PPV pandu lalu tersebut memberikan alternatif kepada penerima vaksin dos kedua untuk mendapatkan suntikan dengan lebih cepat dan selesa.
Menurutnya, setakat ini perkhidmatan suntikan secara pandu lalu itu hanya diberikan untuk dos kedua dan di PPV Stadium Indera Mulia bagi melihat keberkesanan pelaksanaan tersebut.
"Inisiatif PPV Pandu Lalu adalah salah satu di antara lima inisiatif kerajaan negeri bagi meningkatkan tahap kesiapsiagaan dengan memfokuskan pemberian vaksin kepada rakyat.
"Idea menyediakan perkhidmatan pandu-lalu tercetus bagi meringankan cabaran warga emas yang perlu beratur dalam keadaan berkerusi roda, bertongkat dan memerlukan perhatian di sepanjang proses penerimaan vaksin," katanya kepada pemberita selepas Pelancaran PPV Pandu Lalu di Stadium Indera Mulia, di sini pada Khamis.
Saarani berkata, kemampuan pasukan mengendalikan kaedah baharu pemberian vaksin melalui pandu-lalu akan diuji secara berfasa.
Menurutnya, kerajaan negeri akan melihat keperluan pembukaan PPV pandu lalu di daerah-daerah dan lokasi lain bagi membantu mempercepatkan proses vaksinasi di Perak.
Menurutnya, bagaimanapun pembukaan PPV pandu itu akan melihat kepada kesesuaian tempat dan petugas terlibat.
"Pertambahan kaunter pandu-lalu juga dijangk dapat menambah bilangan penerima vaksin di PPV Stadium Indera Mulia iaitu sehingga 2,500 orang sehari.
"Langkah ini juga diambil sebagai persediaan untuk menghadapi fasa akan datang yang dijangkakan lebih ramai selepas ini," katanya.
Saarani berkata, semua pihak akan terus berusaha meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan dari masa ke masa bagi menjayakan matlamat Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) khususnya dalam mewujudkan imuniti berkelompok.
Sementara itu, Pengarah Kesihatan Perak, Datuk Dr Ding Lay Ming berkata, pengamal media di Perak akan menerima notifikasi janji temu suntikan vaksin Covid-19 mulai Khamis (hari ini).
Menurutnya, sehingga kini terdapat seramai 123 pengamal media disenaraikan untuk menerima vaksin Covid-19 yang kebanyakannya berada dalam daerah Kinta.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!