Johor umum RM75 juta perkasa pengurusan Covid-19

Hasni ketika mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) Ihsan Johor 3.0 secara maya melalui platform Facebook Live rasminya dan media sosial kerajaan negeri.
Hasni ketika mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) Ihsan Johor 3.0 secara maya melalui platform Facebook Live rasminya dan media sosial kerajaan negeri.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kerajaan Johor mengumumkan peruntukan berjumlah RM75 juta daripada keseluruhan peruntukan RM241 juta dalam Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) Ihsan Johor 3.0 bagi tujuan pemerkasaan pengurusan pandemik Covid-19 negeri ini.

Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad berkata, peruntukan yang besar itu dibuat kerana menyedari bahawa sektor ekonomi tidak akan dapat dimajukan dan sektor sosial tidak dapat disejahterakan jika pandemik itu tidak dikawal secepat mungkin.

Katanya, pembukaan semula sempadan Singapura-Malaysia dan keberkesanan penuh 7 Ikhtiar Makmur Johor juga bergantung terhadap bagaimana Johor dapat mengurangkan kadar kes jangkitan setiap hari.

“Empat inisiatif akan dilakukan bagi tujuan itu antaranya kerajaan negeri akan membeli Covid Test Kit RTK Antigen sebanyak 190,000 unit. Inisiatif ini akan dilaksanakan secara bersama oleh Pejabat Setiausaha Kerajaan Bahagian Khidmat Pengurusan (SUK BKP) dan Jabatan Kesihatan Negeri Johor.

“Bagi memperkukuhkan lagi ujian saringan bersasar, tiga pihak berkuasa tempatan (PBT) bertaraf bandar raya iaitu Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) dan Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) akan turut membeli Covid Test Kit RTK Antigen yang mana inisiatif ini bakal memanfaatkan hampir 60,000 orang.

“Kerajaan negeri juga akan terus membiayai perbelanjaan operasi di Pusat Pemberian Vaksin (PPV), sekatan jalan raya (SJR) dan membiayai kebajikan barisan hadapan. Inisiatif ini akan diselaraskan oleh SUK BKP dan semua pejabat-pejabat daerah yang merangkumi elaun, penyediaan makanan dan kelengkapan berkaitan yang melibatkan implikasi kewangan sebanyak RM20 juta dan akan terus dilaksanakan hingga Disember 2021.

“Kita turut bercadang membeli vaksin Covid-19 bagi membolehkan rakyat di negeri ini mendapatkan bekalan vaksin. Kerajaan negeri akan bekerjasama dengan Kumpulan Perubatan Johor (KPJ) dan inisiatif ini akan membolehkan pihak KPJ menjual vaksin kepada mereka yang memerlukan. Oleh itu, kerajaan negeri akan memperuntukkan sebanyak RM40 juta bagi tujuan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) Ihsan Johor 3.0 secara maya melalui platform Facebook Live rasminya dan media sosial kerajaan negeri.

Artikel Berkaitan:

PRE Ihsan Johor 3.0 ini akan dilaksanakan bagi melengkapi usaha-usaha yang dilaksanakan oleh Kerajaan Persekutuan melalui program Pemerkasa+.

PRE Ihsan Johor 3.0 memperuntukkan RM241 juta dengan 33 inisiatif serta bertunjangkan dua fokus utama iaitu pemerkasaan pengurusan pandemik dan pengukuhan bantuan keselamatan sosial.

Semasa pelaksanaan PKP tahun lalu, Kerajaan Negeri Johor melalui Pakej Rangsangan Ekonomi Ihsan Johor 1.0 memperuntukkan RM167.33 juta dan telah memanfaatkan seramai 295,464 penerima.

Sementara itu, Pakej Rangsangan Ekonomi Ihsan Johor 2.0 yang sebanyak RM109.48 juta pula memanfaatkan seramai 387,674 penerima.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!